5 Fasa Dunia Akhir Zaman. Kita Di Fasa Berapa?

Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi, dari Nu’aman bin Basyir dan Huzaifah. Rasulullah SAW bersabda:

1) MASA KENABIAN (Nubuwwah) itu ada ditengah–tengah kalian, adanya adalah atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila dia menghendakinya.

2) MASA KHILAFAH (Khilafah Ala Manhaj Nubuwwah) yang mengikuti jejak MASA KENABIAN (Nubuwwah), adanya atas kehendak Allah,lalu Allah mengangkatnya apabila Dia menghendakinya.

3) MASA KERAJAAN MENGGIGIT (Mulkan ‘Addhan) adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendakinya.

4) MASA KERAJAAN YANG SOMBONG (Mulkan Jabariyyan) adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendakinya.

5) MASA KHILAFAH (Khilafah Ala Manhaj Nubuwwah) yang mengikut jejak KENABIAN (Nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendakinya.

Kemudian baginda Rasulullah SAW diam.

Dalam 5 fasa masa ini, 3 fasa telah berlalu pergi, 1 fasa sedang kita lalui sekarang dan 1 lagi fasa akan kita lalui pada masa akan datang jika berkesempatan.

Grafik: dressarmedikinfo

Fasa ke 4 yang sedang kita lalui sekarang merupakan fasa di mana dajjal akan keluar, yakjuj dan makjuj juga akan keluar serta pelbagai lagi tanda kiamat besar akan muncul.

1. Apakah yang diisyaratkan tentang 5 fasa masa dalam Hadith tadi?

Hadith tadi datang dari perawi yang boleh dipercayai (Thiqah) dijadikan sebagai tanda aras bagi umat islam. Bermula dengan perjuangan Rasulullah SAW selama 23 tahun dan yang terakhirnya dipimpin oleh Imam Mahadi.

Berkaitan dengan itu juga, akan turun Dajjal serta Nabi Isa AS dan ketika itulah pertembungan kemuncak antara yang Haq (Imam Mahadi dan Nabi Isa A.S) dan yang Batil (Dajjal, Yakjuj dan Makjuj).

Gambar Hiasan. Photo: viva.co.id

Nabi mengingatkan kepada umat islam di akhir zaman bahawa hidup ini amat mencabar pada era itu.

Fasa ke 4 ini, yang berkaitan dengan Mulkan Jabariyyan, yang berkaitan dengan pemerintahan kuku besi. Bukan bermaksud tiada kebaikan, masih ada, tetapi dominasinya adalah dari kuku besi. Umat islam ketika era ini masih ada dan perlu menghadapinya dengan satu kekuatan.

Hadith ini juga menyatakan tentang di mana umat islam berada dan perkara bersifat futuristik iaitu perkara masa depan. Perkara yang belum berlaku, tetapi Nabi SAW telah memberitahu awal sebagai persiapan bagi menghadapi dan menanganinya.

Ar-Rum: Ayat 41 – 42

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” – Ar-Rum 41

Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” – Ar-Rum 42

2. Apakah maksud 5 Fasa masa mengikut turutan dari satu fasa ke satu fasa?

FASA 1

Fasa terbaik adalah fasa Nubuwwah. Baginda datang dengan wahyu iaitu Al-Quran. Dibantu dengan Sunnah iaitu Hadith iaitu perinciannya. Zaman Nubuwwah ini tidak panjang, hanya selama 23 tahun tetapi penuh keemasan dan sangat berkualiti.

FASA 2

Disusuli pula dengan era yang sangat cemerlang iaitu Khilafah Manhaj Nubuwwah. Khalifah Ar-Rasyidin diperintah oleh 4 orang sahabat Agung bermula dari Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman Affan dan Saidina Ali Abi Talib selama 30 tahun. Ia merupakan satu era contoh untuk kita.

“Hendaklah kamu mengikut sunnahku, Sunnah Khulafah Ar-Rasyidin yang berjalan diatas petunjukku” – Al-Hadith

Pengiktirafan Nabi SAW kepada cara pemikiran dan penyelesaian para Khalifah Ar-Rasyidin.

Sebagai contoh kenapa Saidina Abu Bakar memerangi orang yang enggan membayar zakat? Apa kaedahnya? Kaedah itu yang perlu kita ambil sebagai panduan. Nabi berkata “gigit kaedah itu dengan gigi dan gusimu”. Ia bererti hal ini sangat penting.

FASA 3

Kemudian zaman berubah pada Fasa ke 3 iaitu Mulkan ‘Addhan (Pemerintahan Zalim). Ia melibatkan dinasti tertentu serta Raja tertentu seperti berikut:

1) Zaman Umaiyyah selama 90 tahun dengan 14 orang Khalifah.

2) Zaman Abbasiyyah selama 500 tahun dengan 37 orang Khalifah.

3) Wakil Umaiyyah di Andalusia (Sepanyol) memerintah pada 711 masihi. Mereka di gelar sebagai Gabenor.

4) Uthmaniyyah mula bertindak pada tahun 1298 masihi ketika serangan Monggol Tartar ke atas Baghdad, Iraq.

5) Kemuncak Era khalifah iaitu Uthmaniyyah selama 600 tahun dengan 37 orang Khalifah yang digelar Sultan.

Ini adalah fasa masa ke 3. Kepimpinannya tidak sempurna. tidak seperti Khalifah Ar-Rasyiddin, tetapi masih meletak syariat Islam di atas pemerintahan namun masih ada sudut kelemahan.

Walaubagaimanapun, masih ada kekuatan sepertimana di zaman Abbasiyyah, lahir ulama–ulama 4 mazhab. Selepas itu lahir para ulama Muhaddisin seperti Bukhari dan Muslim.

FASA 4

Era terus berubah ke fasa masa seterusnya yakni fasa ke 4 iaitu Mulkan Jabbariyyan atau Pemerintahan Kuku Besi. Ia bermula dari zaman kejatuhan empayar Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924 masihi dan diganti oleh Mustafa Kamal Atartuk. Orang ini menganggap Syariat tidak penting dan menghancurkannya. Mereka berpolitik bukan untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Apabila Syariat tidak lagi penting, maka lahirlah Islam bebas, Islam liberal iaitu lahirnya pemikiran bahawa Al-Quran merangsang manusia menjadi pengganas dan akhirnya Al-Quran tidak lagi berada di atas.

Itulah formula rekaan manusia. Formula yang mengikut syahwat manusia dan mengenepikan Allah, itulah Mulkan Jabariyyah.

Orang yang berpegang pada syariat Allah akan hadapi cabaran yang besar seperti dituduh sebagai pengganas, akan digelar golongan warak yang tidak betul.

FASA 5

Selepas Fasa ke 4, akan berulang semula era Khilafa ‘ala Minhajun Nubuwwah dengan kedatangan Imam Mahadi yang akan memerintah selama 7 tahun. Ketika itu, bumi akan subur, hujan turun, keadilan berleluasa, kemewahan akan diagih sama rata. Inilah era yang sangat ditunggu oleh umat islam.

Gambar Hiasan. Photo: sharingseputarislam

3. Ada umat islam yang langsung tidak memikirkan tentang datangnya hari kiamat. Ada pula yang berilmu tinggi, berfikir dan mengkaji tetapi mereka menokok tambah fakta di dalam Hadith dan Al-Quran.

Dimanakah Kita? Sama-sama kita renungkan. Dalam Fasa ke 4 ini akan keluarnya Dajjal. Salah satu tanda kedatangan Dajjal ialah keringnya air Tasik Tiberias (Thabariyyah) terletak di utara Israel. Bersempadan kepada 3 buah negara lain iaitu Syria, Lubnan dan Jordan.

Merangkumi kira-kira 160 kilometer persegi pada ketinggian  200 meter di bawah paras laut. Berukuran pajang 21 km dan lebar 13 km. Pada ketika tasik itu kering, itulah era Dajjal. Tasik Tiberias yang kering diisyaratkan di dalam hadith sebagai kehadiran Dajjal.

Orang-orang Israel memanggilnya Lake Kinneret. Di dalam peta pula tertulis Sea of Galilee. Pada 7 Mac 2017 Daily Mail  melaporkan, Pihak Berkuasa Air Israel memberitahu air tasik telah jatuh ke tahap paling rendah dalam masa 100 tahun. Keadaan tersebut adalah serius. Tahapnya adalah 20 sm di bawah garis merah.

Apakah benar Dajjal akan Keluar dalam masa terdekat ini? Bagaimana Tasik Tiberias dikaitkan dengan keluarnya Dajjal? Berdasarkan Hadith dari sahabat Thamim Addhan R.A yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Ketika Dajjal bertanya para sahabat:

“Adakah tasik ini masih digunakan untuk mengairi tanaman dan memberi minuman untuk haiwan? Para sahabat menjawab, Ya, Maka Dajjal menjawab, satu hari dia akan mengeringkan tasik itu”. – Al – Hadith

Air tasik dilaporkan berada di bawah garis merah. Photo: republika.co.id

4. Jika diukur pada Skala 1-10 Tahap Kerosakan Umat Islam pada masa kini, ianya berada pada Skala 7-8. Kita fikirkanlah sendiri. Apakah persediaan kita menghadapi Era Dajjal ini? Adakah kita sudah bersedia?

Ketika era Dajjal, Nabi menyuruh kita membaca 10 ayat pertama dari Surah Al–Kahfi. Ada riwayat menyuruh kita membaca 10 ayat terakhir Surah Al- Kahfi. Implikasi sebenar adalah bukan sekadar membaca, tetapi membaca ala sahabat iaitu membaca dan melaksana.

Al Kahfi : Ayat 1

“Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)”. Al KAhfi 1

Era kita berada sekarang adalah penuh liku dan bengkang bengkok. Era kita terlalu banyak sekularisme iaitu membezakan agama dengan kehidupan. Ada juga ‘Machiavellianisme’ iaitu niat suci tetapi cara tidak betul dan ada juga ‘Hedonisme’ iaitu mengikut hawa nafsu. Mohon Allah kekallah kita dalam kalangan orang–orang yang berfikir dan dilindungi. Semoga Allah menyayangi kita.

5. Adakah kita tidak perlu berusaha dalam Fasa keempat ini?

Hadith riwayat Bukhari:

“Akan ada satu golongan dari umat ini yang akan terus menerus menegakkan kebenaran. Sesiapa sahaja yang mendatangkan mudarat pada mereka ini, tidak akan mendatangkan kesan kepada mereka sehingga hari kiamat”. – Al Hadith

Golongan ini akan sentiasa berusaha dalam meneruskan dakwah islamiah, berjuang untuk islam dan terus menghayati islam. Maka seharusnya kita tidak berpeluk tubuh sahaja untuk menunggu kedatangan Imam Mahadi memerangi Dajjal.

Al-Mukminun: Ayat 99 – 100

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)” – Al-Mu’minūn 99 

“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)”-Al-Mu’minūn 100 

Sumber:dressarmedikinfo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *