in , ,

Arahan MKN No.20 – Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara

Arahan No 10 MKN

Kawan-kawan semua, mari sama-sama kita baca satu perkongsian dari seorang pegawai yang terlibat dalam hal-hal yang berkaitan dengan bencana dan kemalangan. Mari kita kenali Dasar dan Mekanisma Pengurusan Bencana Negara melalui Arahan MKN No.20 supaya kita tidak melatah apabila sesuatu bencana berlaku.

Ikutilah apa yang beliau kongsikan di bawah:

Mari kita pakat-pakat baca, ambik tahu, hadamkan dan seterusnya fahamkan. Jangan nanti kalau berlaku bencana, kita jadi seperti lalat yang menghurung najis, yang menambahkan masalah. Sedangkan pihak yang berkenaan begitu sibuk menguruskan bantuan dan sebagainya, kita pulak jadi manusia yang tidak tentu hala melalak sana-sini. Saya cakap begini kerana sudah banyak kali. Samada berlaku pada diri sendiri atau rakan-rakan, keadaan di mana urusan bantuan dan kawalan zon bencana  menjadi huru-hara.

Bencana
Tugas-tugas menyelamat memerlukan kesabaran dan kekuatan mental dan fizikal

Yang menjadi nasi tambah mengarah itu ini sedangkan dia sendiri tak tahu apa, yang mempertikai kenapa kawasan tertentu lambat terima bantuan, yang komplen kerana dia tidak berada dalam kedudukan pertama penerima bantuan. Sedangkan yang sedang terlibat dan mengurus bagai tidak cukup kaki tangan nak buat segalanya. Tidak cukup dengan itu, media sosial pulak digunakan sebagai medium meluahkan rasa tidak puas hati. Contohnya seperti:

“Sepupu saya yang ada di sana belum terima bantuan pampers yang dia mintak”, atau “Saya lebih tahu apa yang terjadi sebab anak saudara saya ada di sana”.

Sedangkan yang terlibat ketika itu kelam kabut, mana nak kejar orang hanyut, mana nak pujuk makcik tua yang sayang nak tinggal ayam dan kambingnya, mana nak selamatkan kucing yang sangkut atas pokok sebab mereka jugak adalah mangsa bencana.

Maka, sama-samalah kita fahamkan. Semoga nanti diri kita ini lebih kepada memberi atau membawa manfaat.

pengurusan bencana
Gambar Hiasan – Malaysia digemparkan dengan runtuhan Highland Tower pada tahun 1993

Bila Arahan Ini Wujud?

Arahan ini telah diwujudkan pada 11 Mei 1997 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ekoran daripada tragedi keruntuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993. Bagi memperkemas dan memperluaskan skop pengurusan Bencana yang semakin rumit dan kompleks, Arahan ini telah disemak semula pada 30 Mac 2012 bagi menerangkan peranan pihak-pihak yang berkaitan supaya ianya lebih menyeluruh dan bersepadu.

PERKARA 4: JENIS-JENIS BENCANA

Terdapat 11 jenis bencana yang akan diurus di bawah arahan ini ialah seperti di bawah:

bencana tsunami
Jika berlaku bencana, ianya meninggalkan kesan yang sangat dahsyat

a. Bencana alam (banjir, ribut taufan, gempa bumi, tsunami, ombak besar, kemarau dan tanah runtuh)
b. Bencana industri (letup4n, kebakaran, pencemaran, kebocoran bahan berbahaya di kilang/ loji/depot yang memproses, mengeluar dan menyimpan bahan ini)
c. Kemalangan yang melibatkan pengangkutan/penyaluran/pemindahan bahan berbahaya)
d. Keruntuhan bangunan/struktur khas
e. Kemalangan udara (yang berlaku di kawasan berpendudukan tinggi)
f. Pelanggaran/gelinciran keretapi/lain-lain sistem pengangkutan rel yang melibatkan jumlah mangsa/kemusnahan harta benda yang besar
g. Kebakaran (melibatkan kawasan yang luas termasuklah kebakaran bangunan tinggi/struktur khas yang mempunyai ramai orang)
h. empangan/takungan air pecah;
i. Kemalangan kimia, biologi, radiologi dan nuklear
j. Kejadian jerebu;
k. Penularan wabak penyakit berjangkit yang tidak terkawal/pandemik
l. Lain-lain kejadian Bencana yang akan diisytihar/ditetapkan Kerajaan.

Kejadian yang tidak tersenarai di atas akan ditakrifkan sebagai Kejadian BUKAN BENCANA dan tidak tertakluk di bawah Arahan ini.

Bencana Maritim

Bencana Maritim
Pihak Maritim akan menguruskan bencana yang melibatkan maritim

Kejadian bencana maritim yang berpunca daripada kejadian kemalangan atau kecemasan maritim yang melibatkan nyawa dan harta benda, dikendalikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai Agensi Peneraju dengan menggunakan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan, International Aeronautical and Maritime Search and Rescue (IAMSAR) Malaysia Jilid IV.

Bagi kejadian tumpahan minyak atau kemalangan yang melibatkan pencemaran atau kemusnahan alam sekitar maritim akan dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai Agensi Peneraju dengan menggunakan Rancangan Kontingensi Kebangsaan Kawalan Tumpahan Minyak/Bahan Pencemaran.

Bencana Udara

Bencana Udara
Bencana melibatkan kapal terbang dibawah kendalian DCA

Kejadian bencana udara yang berpunca daripada kejadian kemalangan atau kecemasan udara terutamanya yang melibatkan kapal terbang secara amnya dikendalikan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebagai Agensi Peneraju dengan menggunakan Manual SAR Kebangsaan, IAMSAR Malaysia Jilid IV.

Walau bagaimanapun, kemalangan atau kecemasan udara yang berlaku di kawasan yang berkependudukan tinggi adalah tertakluk kepada Arahan ini.

Kemalangan Kimia, Radiologi dan Nuklear

bencana kimia
Jika berlaku bencana di kilang-kilang kimia, kesannya juga sangat dahsyat

Kejadian bencana akibat kemalangan kimia, radiologi dan nuklear serta bahan bahan berbahaya dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai Agensi Penyelamat dalam menangani Bencana ini.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) bertanggungjawab sebagai Agensi Peneraju dalam memberikan khidmat kepakaran dan teknikal dalam pengurusan bencana radiologi dan nuklear.

Bencana Jerebu

Jerebu

Bencana jerebu diisytiharkan apabila tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat ke satu tahap yang menimbulkan keadaan kecemasan alam sekitar yang menggugat keselamatan, kesihatan dan ketenteraman awam, perjalanan pentadbiran kerajaan dan aktiviti ekonomi negara.

Kejadian jerebu yang biasa dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai Agensi Peneraju berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Bencana Wabak Penyakit Berjangkit/Pandemik/Kemalangan Biologi

pandemik
Penyakit berjangkit adalah seperti penyakit taun, malaria dan lain-lain

Penularan wabak berjangkit/pandemik yang tidak terkawal serta Bencana akibat daripada kemalangan biologi adalah tertakluk di bawah Arahan ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab sebagai Agensi Peneraju dalam pengurusan kejadian wabak dan Bencana akibat kemalangan biologi.

PERKARA 5: KEJADIAN BUKAN BENCANA

Kejadian yang tidak disenaraikan di Perkara 4 ditakrifkan sebagai Kejadian Bukan Bencana dan tidak tertakluk di bawah Arahan ini. Contoh Kejadian Bukan Bencana adalah seperti kemalangan kenderaan, kebakaran kecil atau kemalangan kecil di tasik atau sungai.

Kejadian-kejadian ini kebiasaannya dapat dikendalikan dalam tempoh masa yang spesifik oleh Agensi Penyelamat dengan menggunakan sumber atau kemudahan yang minima di peringkat tempatan.

Kemalangan jalanraya sebegini adalah kemalangan biasa

ZON BENCANA

Bagi tujuan perintah dan kawalan, kawasan bencana akan dibahagikan kepada tiga (3) zon iaitu:

Zon Merah

Zon ini meliputi suatu kawasan yang ditetapkan oleh Komander Operasi Bencana bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat oleh Agensi Penyelamat dan pasukan-pasukan khas yang mempunyai kepakaran tertentu sahaja. Kebenaran masuk ke dalam zon ini perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Komander Operasi Bencana dengan nasihat Komander Kawalan Hadapan.

Zon Kuning

Zon ini adalah kawasan di luar tempat kejadian yang ditetapkan oleh Komander Operasi Bencana untuk menempatkan pos-pos Agensi Penyelamat dan pasukan-pasukan khas yang mempunyai kepakaran tertentu. Penempatan pos-pos dan akses masuk ke zon ini perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Komander Operasi Bencana.

Zon dibahagikan mengikut tahap-tahap bahaya

Zon Hijau

Zon ini adalah kawasan di luar Zon Kuning yang menempatkan pos-pos dan petugas-petugas Agensi Bantuan dan Pemulihan serta badan-badan sukarela. Zon ini juga menempatkan Pusat Pengurusan Media, Pusat Keluarga Mangsa, Pusat Kaunseling, Tempat Bekalan Makanan, Tempat Rehat dan Tempat Mayat. Lain-lain fungsi zon ini akan diputuskan oleh Komander Operasi Bencana.

Di barisan paling hadapan dalam pengurusan bencana ini, tentu sekali adalah NADMA (National Agency for Disaster Management) atau Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan yang kini diterajui oleh Datuk Abdul Rashid Harun, bekas pengarah ESSCOM dan Ketua Polis Sabah.

PENUTUP

Membawang sangat senang berbanding berada dan bertugas di lokasi bencana.

Kita sebagai orang awam, yang tidak mengetahui tugas mereka, perlu peka dan memahami tugas-tugas pihak yang bertanggungjawab. Jangan bercakap tanpa mengetahui hal sebenar. Kita sebenarnya tidak tahu apa yang mereka rancang dan kenapa. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang membacanya.

Artikel Lain: Tips Mencegah Kebakaran di Rumah Kediaman

Apa pendapat anda? Berikan komen yang membina ye. Sila layari facebook kami @sukaviral

sumber: facebook

Hukum Solat Memakai Singlet

Hukum Menunaikan Solat Hanya Dengan Memakai Singlet

Kapsul Beracun Dikesan

Lagi Kapsul Dikesan Mengandungi Racun Berjadual – KKM