Babi Hutan Masuk Masjid. Seorang Jemaah Cedera Disondol

Sungai Buloh, 6 Mac – Seorang jemaah Masjid Jamek Sungai Pelong di sini, cedera apabila disondol oleh seekor babi hutan yang memasuki ruang solat di masjid berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.00 malam ketika jemaah sedang menunaikan solat sunat dan sedang menunggu untuk solat isyak.

Sebelum memasuki ruang solat masjid, babi berkenaan yang dikatakan tersesat telah memasuki kawasan pagar masjid telah mengejar kanak-kanak dan jemaah yang berada di luar kawasan masjid.

Haiwan yang cedera di leher itu seterusnya memasuki ruangan solat dan meyerang jemaah yang berada di dalam kawasan berkenaan menyebabkan jemaah bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Babi Hutan Masuk Masjid
Babi Hutan yang memasuki ruang solat Masjid Jamek Sg Pelong

Jemaah kemudian berusaha untuk menghalau haiwan berkenaan keluar dari kawasan masjid.Selepas lebih 30 minit haiwan berkenaan berjaya diumpan dan dihalau keluar dari masjid.

Haiwan tersebut terus mengamuk dan dan menyondol beberapa buah motosikal hingga tumbang. Akhirnya haiwan tersebut ditembak mati oleh seorang jemaah.

Difahamkan pihak Polis Sungai Pelong telah dimaklumkan dengan kejadian tersebut.

Imam 1 Masjd berkenaan, Hj Ungku Ahmad Hazwan Bin Ungku Kamarudin yang mewakili pihak Masjid Jamek Sungai Pelong mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung membantu pihak masjid ketika berlaku musibah tersebut.

Jemaah cedera babi hutan masuk masjid
Seorang jemaah cuba mengumpan babi hutan supaya keluar

Beliau memberitahu lebih kurang 3/4 bahagian di dalam dan beranda masjid terjejas akibat dari kejadian tersebut.

Pihak masjid juga telah menghubungi pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Kepakaran mereka diperlukan bagi membuat penilaian berkaitan masalah Sertu dan karpet masjid

Pada ketika ini, urusan solat berjemaah diteruskan seperti biasa di ruang solat yang tidak terjejas

“Saya memohon kepada semua terutamanya ahli kariah MJSP agar dapat bersama-sama berdoa supaya masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Sesungguhnya musibah yang berlaku pada hari ini besar hikmahnya” – Hj Ungku Hazwan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *