Daftar Mengundi

Sudahkah anda mendaftar untuk mengundi? Tahukah anda bagaimana untuk anda mendaftar?

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
Daftarlah mengundi jika anda sudah layak. Anda penentu masa depan negara.

Warganegara yang layak adalah berhak untuk memilih kerajaan bagi memerintah negara melalui pemilihan wakil rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Sebelum anda dibenarkan mengundi, anda perlulah mendaftarkan nama anda sebagai pemilih.

Paling mudah anda boleh mendaftar mengundi di Pejabat Pos. Anda tidak layak mengundi sekiranya nama anda tidak disenaraikan dalam daftar pemilih.

JENIS PENDAFTARAN PEMILIH

Terdapat 2 jenis pendaftaran pemilih disediakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) iaitu Pendaftaran Baru dan Pendaftaran Tukar Alamat dan Tukar Pusat Mengundi.

1.  Pendaftaran Baru.  SPR akan menerima permohonan warganegara yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih buat kali pertama.

2.  Pendaftaran Tukar Alamat dan Tukar Pusat Mengundi.  SPR juga menerima permohonan pemilih berdaftar yang memohon untuk mendaftarkan alamatnya yang baru. Ia berkait dengan pertukaran alamat Pusat Mengundi kerana sekiranya pemilih itu berpindah ke tempat baru, maka Pusat Mengundinya adalah mengikut pendaftaran alamat tempat tinggal barunya.

JENIS PEMILIH

SPR boleh mendaftarkan dua jenis pemilih iaitu Pemilih Biasa dan Pengundi Tidak Hadir (PTH).

1.  Pemilih Biasa.  Mereka perlu hadir untuk mengundi di pusat-pusat mengundi semasa pilihan raya.

Mengundi
Pemilih biasa semasa proses mengundi dijalankan. Photo @ CVT

2.  Pengundi Tidak Hadir (PTH).  Kategori ini dinyatakan dalam Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, iaitu, anggota tentera dan pasangan atau anggota perkhidmatan awam yang bertugas di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya serta pelajar sepenuh masa yang menuntut di luar negara dan pasangan yang menetap bersamanya. PTH ini dibenarkan mengundi secara pos.

Undi Awal
Seorang Anggota TUDM sedang membuang undi. Photo @ Utusan

SYARAT DAN KELAYAKAN UNTUK MENDAFTAR:

1.  Seorang warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun.

2.  Bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan.

3.  Seorang yang tidak dihalang atau hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.

PUSAT PENDAFTARAN

1.   Kaunter Pendaftaran Pemilih, Ibu Pejabat SPR Malaysia, Aras G, Menara SPR, No.2, Jalan P2T, Presint 2, 62100 Putrajaya.  Talian Hotline: 03-88927018

2.   Pejabat-Pejabat Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi & Konsulat Jeneral di Luar Negeri Sila klik pada http://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission.

3.  Pejabat-Pejabat Piliihan Raya Negeri.

4.  Pejabat-Pejabat Pos Malaysia seluruh negara.

5.  Kaunter SPR yang dibuka melalui Program Outreach di kawasan tumpuan orang ramai.

6.  Penolong Pendaftar Pemilih yang dilantik daripada kalangan kakitangan agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi tempatan dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan.

Daftar Undi Di PEjabat Pos
Paling mudah pergilah mendaftar di Pejabat Pos

CARA UNTUK MENDAFTAR

UNTUK PEMILIH BIASA

1.  Datang sendiri ke mana-mana pusat-pusat pendaftaran.

2.  Bawa bersama kad pengenalan dan serahkan kepada petugas SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda.

3.  Sila Semak borang pendaftaran yang telah diisi oleh petugas SPR. Pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul seperti dalam kad pengenalan anda sebelum anda menandatanganinya.

4.  Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran, Rang Daftar Pemilih Tambahan nanti.

UNTUK PENGUNDI TIDAK HADIR

ANGGOTA TENTERA

Pendaftaran Pengundi Tidak Hadir (PTH) dari kalangan anggota ATM dilaksanakan oleh Bahagian JRP-ATM.

Untuk mendaftar sebagai PTH, anda perlu:

1.  Menghubungi petugas-petugas SPR yang dilantik dari kalangan pegawai JRP

2.  Serahkan Kad Pengenalan Tentera anda dan MyKad pasangan anda kepada petugas untuk mengisikan borang pendaftaran anda.

3.  Semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul sebelum menandatanganinya

4.  Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran draf Daftar Pemilih Tambahan.

Tempat Mengundi di Luar Negara
Pengundi Tidak Hadir (PTH). Photo @ BH

NOTA

Pusat Mengundi bagi anggota ATM dan pasangan adalah mengikut alamat tempat mereka bertugas. Hanya anggota ATM dan pasangannya sahaja yang layak untuk mendaftar sebagai PTH.

Anggota keluarga yang lain perlu mendaftar sebagai pemilih biasa.

WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERADA DI LUAR NEGARA

Pendaftaran Pengundi Tidak Hadir (PTH) dari kalangan penjawat awam atau pelajar di luar Negara serta pasangan mereka dilaksanakan oleh pegawai-pegawai pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia.

Kedutaan Malaysia
Gambar hiasan

Untuk mendaftar sebagai PTH anda perlu:

1.  Datang sendiri ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia.

2.  Serahkan MyKad atau pasport anda kepada petugas yang dilantik oleh SPR. Mereka akan mengisikan borang pendaftaran anda.

3.  Nyatakan alamat tempat tinggal anda (di negara tersebut), pekerjaan anda dan nombor siri borang A kepada petugas dalam sehelai kertas A4 dan dikepilkan dengan borang pendaftaran anda.

4.  Semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul, sebelum anda menandatanganinya.

5.  Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan.

NOTA

Hanya penjawat awam / pelajar dan pasangannya sahaja yang layak untuk mendaftar sebagai PTH di Luar Negara. Anggota keluarga lain perlu mendaftar sebagai pengundi biasa dan Pusat Mengundi ditetapkan menggunakan alamat kediaman pemohon di Malaysia (seperti dalam kad pengenalan).

Warganegara Malaysia (bukan penjawat awam / pelajar dan pasangan) yang menetap/bekerja di luar negara boleh memohon untuk berdaftar sebagai pengundi biasa di mana-mana pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara.

Status sebagai PTH di Luar Negara adalah kekal sehingga pemilih memohon pendaftaran semula sebagai pengundi biasa setelah pulang ke Malaysia.

PENDAPAT DAN ADUAN

Anda boleh menghantar sebarang aduan, pertanyaan, pendapat dan cadangan secara terus kepada Pejabat Pilihanraya Negeri masing-masing seperti di bawah. Sila klik pada negeri yang berkenaan:

[PERLIS]   [KEDAH]  [KELANTAN]  [TERENGGANU]  [P.PINANG]  [PERAK]  [PAHANG]  [SELANGOR]  [WPKL/PUTRAJAYA]  [N.SEMBILAN]  [MELAKA]  [JOHOR]  [SABAH]  [SARAWAK]  

Segala pertanyaan umum sila klik link di bawah:

Contoh soalan: Bilakah tarikh akhir daftar mengundi 2018?

[PERTANYAAN] << klik di sini

PENUTUP

angan lupa tanggungjawab anda setelah mencapai usia 21 tahun. Begitu juga warganegara yang tlah lama layak. Berdaftarlah dan mengundilah kerana ia juga adalah kewajipan. Jalankan tanggungjawab untuk memilih pemerintah anda. Pemilihan anda yang menentukan hala tuju negara.

Sumber: SPR

Comments are closed.