Gadis 13 Tahun Cemerlang Dalam Pelajaran Walau Terpaksa Menjaga Bapanya Yang Lumpuh

Seringkali kita diceritakan tentang anak-anak yang tidak mahu menjaga ibu bapa mereka apabila sudah uzur. Apatah lagi ketika mereka sedang sakit. Ianya berlaku samada anak-anak yang masih mudah remaja sehingga diperingkat memasuki taraf warga emas masih ada yang menderhaka.

Daripada yang tidak bekerja sehingga yang berjawatan tinggi dan kaya. Namun tidak semua anak-anak begitu. Masih ada lagi anak yang mempunyai nilai murni dan tahap kasih sayang yang tinggi terhadap ibu bapa mereka.

Sebagai contoh, kisah Ma Xinjang, gadis berusia 13 tahun dari Heilongjing, China. Beliau yang masih bersekolah dengan rela hati menjaga bapanya yang terlantar sakit kerana lumpuh akibat ditimpa kemalangan sejak tiga tahun lalu.

Menurut Nextshark, sepanjang tempoh itu Ma bangun seawal jam 5 pagi bagi menyediakan sarapan pagi untuk bapanya dan persediaan diri untuk ke sekolah. Selepas selesai memberi bapanya makan melalui tiub, beliau akan pergi ke sekolah untuk meneruskan pembelajarannya.

“Bapa saya tinggal di hospital selama tujuh bulan. Nasib baik bapa saya berjaya diselamatkan tetapi doktor beritahu bapa akan kekal dalam keadaan tidak sedarkan diri melainkan terjadinya keajaiban. Kami percaya dan mengharapkan keajaiban itu berlaku.”

Disebabkan apa yang menimpa bapanya, kehidupan Ma berubah. Dia terpaksa menjadi lebih matang dari umurnya demi masa depan keluarganya.

“Saya tidak boleh lagi menjadi seperti bunga di taman. Saya patut bangkit dan bantu ibu saya yang sedang menanggung beban berat dalam keluarga.”

Kini, Ma bukan saja cekap melakukan kerja rumah seperti memasak, membersihkan bilik dan membasuh pakaian tetapi dia juga telah mempelajari beberapa kemahiran untuk merawat ketika bapanya masih di hospital. Bukan senang kita nak dapat remaja di usia begini boleh menguruskan bapa atau ibu yang sedang sakit.

Malah, kesibukan dalam menguruskan bapanya langsung tidak menjejaskan fokus Ma untuk terus cemerlang dalam pelajaran dan mendapat kedudukan teratas di dalam kelas. Respek!

“Bapa pasti akan bersedih jikalau saya abaikan pelajaran hanya kerana dia sakit. Oleh itu, saya tingkatkan usaha untuk dapat keputusan cemerlang kerana ia merupakan hadiah terindah buatnya.”

Sungguhpun bapanya tidak memberi sebarang respon dan kekal lumpuh tidak sedarkan diri, Ma tidak mudah berputus asa. Jikalau ada masa lapang, dia akan bacakan buku cerita buat bapanya sebagai salah satu usaha untuk bapanya pulih.

“Saya suka membaca buku cerita yang selalu bapa bacakan kepada saya semasa masih kecil. Ia mengingatkan saya akan memori indah pada waktu itu. Saya percaya waktu itu akan kembali lagi suatu hari nanti.”

Menurut ibu Ma, Wang Changrong, perkara yang dilakukan anaknya itu ternyata membuahkan hasil apabila kesihatan suaminya beransur pulih. Sungguhpun suaminya masih tidak sedarkan diri, namun kesihatan suaminya semakin baik.

“Wajahnya nampak bercahaya dan berat badannya juga meningkat daripada 60kg ke 80kg selepas keluar dari hospital. Anak perempuan saya telah banyak membantu dan menyokong saya.”

Disebabkan kasih sayang dan pengorbanan yang ditonjolkan Ma, dia telah menerima anugerah “Most Beautiful Filial Piety Juvenile” daripada CCTV sebagai salah satu aktiviti kemasyarakatan mereka.

Ma juga adalah orang pertama dari daerahnya yang menerima anugerah tersebut. Sungguh hebat!

Tahniah Ma! Semoga apa yang dilakukan gadis ini terus menjadi inspirasi buat semua. Ibu bapa adalah anugerah Tuhan yang tak ternilai buat semua anak-anak dan tiada ganti dalam apa jua keadaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *