in

Hukum Jumpa Tukang Sihir (Bomoh) Untuk Merawat Sihir

Hukum jumpa bomoh merawat sihir

Sejak dulu kala, sihir menjadi satu masalah kepada masyarakat tak kiralah bangsa dan agama apa sekalipun. Nabi SAW sendiri pernah disihir. Sihir didatangkan dalam berbagai cara dan kaedah. Orang yang terkena sihir sudah tentu mengalami kesukaran dalam kehidupan seharian. Akhirnya mereka berusaha untuk merawatinya. Persoalannya ialah, Bolehkah kita jumpa tukang sihir dengan tujuan mendapatkan khidmat mengubati sihir yang dihadapi?

Pandangan Islam Tentang Perbuatan Sihir

hadits larangan jumpa bomoh
Gambar Hiasan – Alatan membuat sihir

Dari segi bahasa, sihir dalam Lisan al-Arab disebut: “Tukang sihir seakan-akan memperlihatkan kebatilan dalam kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya. Dengan demikian, dia telah menukar sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)

Dari segi istilah, Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung. (Lihat al-Mughni, 9/34)

Rasulullah SAW menyebut sihir sebagai salah satu daripada perbuatan dosa besar. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” Riwayat al-Bukhari (2766)

Ulama bersepakat bahawa mempelajari sihir, mengajar serta mempraktikkannya adalah haram. Ibn Qudamah berkata:

“Sesungguhnya mempelajari sihir dan mengajarkannya adalah haram. Tidak ada khilaf padanya dalam kalangan ahli ilmu.” (Lihat al-Mughni, 8/151)

Imam al-Nawawi berkata:

“Adapun mempelajarinya (sihir) dan mengajarkannya, maka hukumnya adalah haram.” (Lihat Muslim bi Syarh al-Nawawi, 14/176)

Baca Juga –  Jika Anda Terkena Sihir, Minumlah Air Kelapa

Hukum Jumpa Tukang Sihir untuk Ubati Sihir

hukum mendatangi bomoh
Gambar Hiasan – Bomoh atau tukang sihir

Hukum jumpa tukang sihir bagi memintanya mengubati sihir yang dihadapi adalah HARAM. ini kerana sangat jelas perbuatan menemui tukang sihir untuk mengubati sihir yang dihadapi membawa kepada pergantungan selain kepada Allah SWT. Ia boleh menjurus kepada syirik.

Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fatawa al-Mu’asirah berkata:

Diharamkan untuk pergi kepada tukang sihir sama ada untuk melakukan sihir atau pengubatan sihir. Maka semua itu sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabawi adalah salah satu jenis daripada syirik kepada Allah SWT kerana ia adalah keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Barang siapa yang pergi kepada tukang sihir dan tidak mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.” – Riwayat Muslim (5957)

Manakala, Barangsiapa yang pergi berjumpa dan mempercayainya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya hal-hal yang ghaib. Tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” – Riwayat Ahmad (9171)

hukum berubat
Gambar Hiasan – Aksi bomoh sedang merawat pesakit

Perlu difahami bahawa sihir tidak mungkin dilawan dengan sihir. Begitu juga kejahatan tidak mampu untuk membatalkan kejahatan yang lain. Yang mampu membatalkannya hanyalah Allah SWT. Hal ini sebagaimana kisah Nabi Musa dengan ashab Firaun yang dicatatkan dalam Surah Taha: 70 yang bermaksud:

“(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.

Ibn Kathir berkata: Setelah tukang sihir itu melihat dan menyaksikan hal tersebut, sedangkan mereka sendiri juga mempunyai keahlian tentang berbagai jenis sihir, ilmu dan caranya, maka mereka dengan yakin mengetahui bahawa apa yang dilakukan oleh Musa itu bukan termasuk sihir dan tipu daya, dan bahawasanya hal itu merupakan suatu yang haq (benar) yang tidak diragukan lagi.

Hal itu tidak dapat dilakukan kecuali oleh Tuhan yang jika mengatakan “jadilah” kepada sesuatu, maka pasti terjadi. Pada saat itulah para tukang sihir tersebut tersungkur seraya bersujud kepada Allah SWT dan berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 9/350)

Baca Juga – Cara Meleraikan Ikatan Sihir

Menggunakan Jampi (Ruqyah) yang Syar’ie

Dalam hal ini, Islam menyediakan solusi tersendiri iaitu menggunakan ruqyah (jampi) yang berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir dan seumpamanya. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra’: 82 yang bermaksud:

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya”.

Imam al-Syaukani Rahimahullah berkata: “Para ulama berbeza pendapat berkaitan makna “al-syifa” (penawar) kepada dua pendapat:

  • Menjadi penawar bagi hati dengan hilangnya kebodohan, lenyapnya keraguan dan terbukanya tabir yang akan membawa kepada Allah SWT.
  • Menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang zahir dengan ayat-ayat ruqyah, perlindungan dan sebagainya.

Tidak menjadi masalah jika al-syifa’ (penawar) yang dimaksudkan dibawa pada kedua-dua makna tersebut”. (Lihat Fath al-Qadir, 3/300)

beza perubatan islam dan bomoh
Gambar Hiasan – Rawatan Islam

Ruqyah Yang Dilarang dan Dibolehkan

Imam al-Baghawi berkata: “Ruqyah (jampi) yang dilarang adalah ruqyah yang di dalamnya terdapat kesyirikan atau disebutkan di dalamnya jin-jin jahat, atau ruqyah yang bukan berbahasa Arab dan tidak diketahui apa hakikatnya. Hal ini kerana boleh jadi ruqyah itu telah dimasuki oleh sihir atau kekafiran.

Adapun ruqyah (jampi) dengan menggunakan al-Qur’an dan Zikrullah, maka sesungguhnya hal itu adalah boleh malah dianjurkan. Ini kerana, Nabi SAW pernah meniup (menjampi) pada dirinya dengan surah-surah al-Mu’awwizat (al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas)”. (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/159)

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata

“Bahawa Rasulullah SAW jika sakit, beliau membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwizat (ayat-ayat perlindungan) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka saya yang membacakan kepada Baginda dan mengusapkannya dengan tangan Baginda dengan mengharap barakahnya.”

Riwayat al-Bukhari (5016) dan Muslim (5844)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id R.A, beliau berkata bahawa Jibril datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Ya, Muhammad! Apakah tuan sakit?” Jawab Baginda SAW: “Ya.” Lalu Jibril membacakan:

بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ.

Maksudnya“Dengan menyebut nama Allah, aku membacakan ruqyah untukmu dari segala sesuatu yang menganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Semoga Allah menyembuhkanmu.”

Riwayat Muslim (5829)

Baca Juga – Tanda-Tanda (Simptom) Terkena Sihir Pemisah Suami Isteri

Penutup

Sesungguhnya jumpa tukang sihir lain untuk mengubati sihir yang terkena adalah haram sama sekali. Anda disarankan agar jumpalah perawat-perawat yang menggunakan ruqyah berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir. Atau sekiranya mampu, boleh merawat sendiri berdasarkan petunjuk Qurani dan hadis Nabawi.

Berikut adalah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993 berkenaan Amalan Ilmu Hitam/Sihir:

  • Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
  • Pengamal sihir yang mendatangkan mudharat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/hudud.
  • Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal-pengamal yang sabit melakukan sihir.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada-Nya dan serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Sumber: Irsyad Alfatwa

Written by Admin Suka Viral

Saya lelaki biasa yang ada perlindungan takaful dan insurans. Suka travel seperti orang lain. Pernah naik flight untuk travel seperti Air Asia, Malindo, Malaysia Airlines, Fire Fly, Scoot, Singapore Airlines, Qantas, Thai Airways, British dan sebagainya. Makan juga nasi, KFC, Mc Donalds, Burger Kings. Minat forex tapi tak pandai. Sikit duit dalam simpanan akaun di Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Bank dan AmBank. Membeli belah dengan kemudahan AEON Cards.

Solat yang ditinggalkan dengan sengaja wajib qada atau taubat?

Sengaja Tinggalkan Solat, Qada’ Solat Tersebut Atau Taubat?

guru dikasari waris

Tular Waris Kasari Guru Di Kawasan Sekolah