Ustaz Murtadha

Jenazah Ustaz Murtadha Selamat Dikebumikan. Rancangan Beliau Untuk Membina Masjid Darul Murtadha Akan Diteruskan

Jenazah pendakwah muda, Ustaz Murtadha Yusoff, 30, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Penghulu Him, Sungai Petani, kira-kira jam 7 petang tadi.

Sinar Harian melapurkan, lebih 500 orang telah hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang meninggal dunia akibat komplikasi pada paru-paru di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping jam 12.30 tengahari, semalam. Beliau meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih seminggu akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 3 Januari lalu.

Suasana pengkebumian Ustaz Murtadha
© Sinar Harian

Jenazah Allahyarham Ustaz Murtadha dibawa dari Hospital Taiping ke rumahnya di Kampung Bakar Kapor kira-kira jam 4.30 petang. Jenazah kemudiannya dimandikan dan dikafankan.  Kemudian jenazah dibawa ke masjid sekitar jam 5.30 petang untuk solat jenazah. Solat jenazah telah diimamkan  oleh Syeikh Muhammad Kurayyim Rojih dari Yaman.

Isteri Allahyarham, Nurul Ana Shafie, 30, ketika ditemui berkata, ketika sampai di hospital pagi tadi dia mendapati suaminya sudah dalam keadaan tenat.

“Sebelum ini keadaan arwah suami stabil namun pagi tadi, saya dimaklumkan kadar oksigen arwah suaminya menurun secara tiba-tiba. Sejam selepas saya sampai di hospital, suami disahkan meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia reda dengan pemergian arwah suaminya yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam kemalangan ketika perjalanan pulang selepas menjalankan program dakwah di Riau, Indonesia.

Sementara itu , ibu Allahyarham, Noorshams Mohd Nazir, 60, berkata, anak ketiga daripada sembilan beradik itu mendapat rawatan di ICU hospital itu selama 11 hari selepas kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

“Saya sempat menghubungi ayah arwah sejam sebelum kejadian itu. Saya difahamkan masa kejadian hujan renyai-renyai.

“Arwah didapati alami kecederaan serius di bahagian kepala dan kali terakhir saya melihatnya Khamis lalu, kira-kira jam 11 pagi di hospital itu.

“Turut alami kecederaan dalam kemalangan itu, termasuk dua rakanya, Mohamad Wadi Anuar Ayub dan Hambali Zulkifli serta bapanya sendiri, Yusof Ahmad,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakar Kapor, di sini, sebelum jenazah tiba dari hospital.

Dalam kejadian pada 3 Januari lalu, Kereta jenis Nissan Grand Livina yang mereka naiki terbabas semasa tiba di Taiping dan Murtadha terus tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan dalam otak.

Ustaz Murtadha merupakan bekas pelajar Sekolah Agama Deris Sungai Layar, Sungai Petani. Beliau sering diundang menyampai ceramah agama di sekitar Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau kini dalam rancangan membina Masjid Darul Murtadha di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini meninggalkan isteri, Nurul Ana serta dua anak lelaki, Abdul Rahman Faqeh, 4, dan Abdul Rahman Naufal, 2 tahun.

Hasrat itu dijangka akan diteruskan oleh kenalan rapatnya.

VIDEO SEMASA TAZKIRAH JUMAAT

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *