JPJ Tawarkan 70% Diskaun Terhadap Semua Saman dan Kompaun

Hari ini merupakan Hari Ulangtahun Jabatan Pengangkutan Jalan yang ke 72. Bersempena dengan itu satu sambutan telah di adakan di Batu Pahat yang telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Dalam pelancaran tersebut beliau mengumumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun sebanyak 70% ke atas semua saman dan kompaun yang dikeluarkan oleh jabatan itu bagi keseluruhan April hingga 2 Mei depan.

Diskaun itu ditawarkan ke atas semua saman dan kompaun yang dikeluarkan agensi itu selama sebulan bermula hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan
Datuk Ab Aziz Kaprawi

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata,

“Diskaun 70 peratus itu juga mencatat sejarah baru berikutan JPJ tidak pernah menawarkan diskaun setinggi itu sepanjang 72 tahun penubuhannya.

“Orang ramai perlu merebut peluang membayar pelbagai saman dan kompaun JPJ dengan potongan 70 peratus bermula hari ini sehingga 2 Mei depan.

“Bayaran saman dan kompaun boleh dilakukan di semua kaunter JPJ di seluruh negara.

Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan
Orang ramai boleh membayar saman di kaunter-kaunter JPJ seluruh negara.

Walau bagaimanapun, terdapat lima kesalahan yang tidak berhak mendapat diskaun iaitu kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), kompaun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kesalahan Berat Dengan Muatan (BDM) atau lebih muatan bagi kenderaan lebih lima tan, saman mahkamah serta saman dan kompaun membabitkan warga asing.

“Ini kali pertama potongan sehingga 70 peratus ditawarkan sepanjang penubuhan JPJ kerana sebelum ini kita hanya tawarkan diskaun sehingga 50 peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sebelum itu, Ab Aziz melancarkan Sambutan Hari JPJ yang ke-72 Peringkat Kebangsaan di Dataran BP Mall, Batu Pahat, Johor pada hari ini.

Turut hadir dalam sambutan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid.

Dengan pengumuman itu tadi, orang ramai boleh merebut peluang untuk membayar saman-saman yang ada. Tawaran itu juga sedikit sebanyak akan mengurangkan beban kewangan kepada mereka yang mempunyai saman dan kompaun.

Apa lagi! Jangan tunggu saat akhir seperti sebelumnya.

Sumber: Metro