in

Kesilapan Teknikal Punca Bil Elektrik Melambung – ST

Bil Elektrik Melambung Kerana Kesilapan Teknikal

SELEPAS TULAR di laman sosial berkaitan dengan kenaikan bil elektrik yang tidak masuk akal, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengesahkan berlaku kesilapan teknikal  punca bil elektrik melambung yang akhirnya memaksa pengguna yang menanggungnya.

Berlanjutan dengan itu, kerajaan telah mengarahkan Suruhanjaya Tenaga menyiasat dakwaan oleh pengguna dalam tempoh 14 hari mulai semalam.

BIL ELEKTRIK MELAMBUNG KERANA KESILAPAN TEKNIKAL?

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan dan pihak Kementerian mahu perkara itu disiasat pada kadar segera.

“ST sudah mengadakan pertemuan dengan pihak TNB dan syarikat utiliti berkenaan memberikan tiga sebab berhubung kenaikan itu, namun ia tidak boleh diperincikan kerana masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun, siasatan awal ialah satu daripadanya disahkan kecuaian dari segi teknikal,” katanya pada sidang media berhubung aduan pengguna berkaitan bil elektrik tinggi di Putrajaya, semalam.

Beliau mengesahkan isu kenaikan bil elektrik itu juga tidak berkaitan dengan kenaikan tarif.

Bee Yin berkata, berdasarkan peraturan yang sedia ada, pengguna perlu menjelaskan bil elektrik dalam tempoh sebulan dan jika ada lebihan, mereka yang layak akan mendapat pembayaran balik.

“Bagi saya sedikit masa berbincang dengan TNB dan saya rasa, kita boleh selesaikan dalam masa terdekat. Jika perkara ini berlanjutan, kita perlu ada jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan kepada undang-undang yang dikuatkuasakan, pihak Suruhanjaya Tenaga boleh mengeluarkan notis kepada TNB untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi mengatasi timbulnya masalah daripada aduan berbangkit.

Antaranya adalah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990 iaitu TNB hendaklah memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan penggunaan elektrik.

“ST boleh mengambil tindakan ke atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang termasuk pendakwaan kesalahan di mahkamah. Berdasarkan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, orang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 bagi setiap kesalahan.

“Dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda tidak melebihi RM500 tiap-tiap hari bagi sebahagian kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.

Sepanjang Mei ini, ST menerima sebanyak 395 pelbagai aduan daripada orang ramai dan jumlah berkenaan meningkat mendadak berbanding tahun lalu sebanyak 95 aduan.

“Berikutan itu, pengguna yang mengalami masalah berkaitan kenaikan bil elektrik boleh membuat aduan kepada TNB. Jika mereka merasakan ketidakadilan atau tidak dilayan, boleh mengadukan perkara itu kepada ST.

“Setiap aduan yang diterima ini akan disiasat terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Baca Juga – Kenaikan Bil Elektrik Kerana Bacaan Tepat Meter Digital -PM

Sumber: New Malaysian Post

Written by Admin

Saya orang biasa sahaja namun berminat dalam bidang penulisan. Hanya menulis jika ada kelapangan.

Cara Buat Pekasam

Resepi Ikan Pekasam Menggunakan Ikan Gelama

Bacaan Tepat Meter Digital Punca Kenaikan Bil Elektrik

Kenaikan Bil Elektrik Yang Dilaporkan Kerana Bacaan Tepat Meter Digital – Tun M