in ,

Kewajipan Seorang Anak Terhadap Kedua Ibu Bapa.

Islam meletakkan ibu bapa pada tahap tertinggi dalam kehidupan seorang anak selain Tuhan dan Rasul. Samada sedar atau tidak, kita selamanya adalah anak kepada kedua ibu bapa kita sama ada mereka masih hidup atau meninggal dunia.

Kita tidak pernah terlepas daripada tanggungjawab kepada ibu bapa meskipun kita telah bergelar ibu bapa kepada anak sendiri.

Kebelakangan ini trend menghantar ibu bapa ke rumah orang tua, pusat jagaan harian ataupun mengupah pekerja menjaga ibu bapa dikatakan semakin meningkat terutamanya dalam kalangan anak-anak yang sibuk bekerja terutamanya yang tinggal di bandar.

Menempatkan ibubapa di Pusat Jagaan Orang Tua
Meletakkan orang tua di Pusat Jagaan Orang Tua sudah menjadi trend masakini. Gambar sekadar hiasan

Anak-anak harus ingat… ungkapan Redha ALLAH SWT berada pada redha kedua ibu bapa, syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya menunjukkan betapa ibu bapa perlu diberi status kedudukan yang amat mulia dan tinggi.

Ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab membesarkan kita. Bermula dengan fasa kehamilan, kelahiran dan sanggup bergadai nyawa menghadapi seribu macam kesakitan.

Kesusahan seorang bapa pula mengorbankan seluruh jiwa dan masa untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak sehinggalah dewasa. ALLAH juga menyebut perihal berbuat baik kepada kedua ibu bapa selepas tuntutan beriman dengan ALLAH dalam al-Quran. Ini bermakna martabat ibu bapa perlu dihormati.

Pengorbanan ibubapa dalam membesarkan anak-anak
Orang tua tidak mengenal penat lelah untuk mencari rezeki buat anak-anak mereka. © Feldavoice

Apabila mereka mencapai usia tua yang mana sebahagian besar masa mereka dikorbankan untuk membesar dan mendidik anak-anak. Sudah tentulah penghormatan, penghargaan dan keprihatinan terhadap keduanya wajib dipertingkatkan.

ALLAH melarang keras berkelakuan kasar atau menengking ibu bapa, apatah lagi memaki hamun dan anak-anak wajib berkomunikasi dengan penuh penghormatan dan suara yang rendah sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Isra’ ayat 23.

Sebagai seorang anak, kita perlu mengenang jasa kedua orang tua kita yang memelihara kita sedari kecil dengan penuh kasih sayang. Merek korbankan kepenatan mereka dan tidur mereka kerana anak-anak. Maka Islam menuntut agar setiap anak mendoakan kebahagiaan ibu bapanya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Isra’ ayat 24.

Ramai di kalangan anak-anak di akhir zaman ini mementingkan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kedua orang tua mereka. Apabila tamat zaman persekolahan mereka sudah mula mencari kehidupan sendiri. Adakalanya sehingga tidak mengambil tahu akan kesusahan yang sedang dialami oleh orang tua mereka.

Orang tua bukan mahu apa daripada anak-anak. Mereka hanya mahu anak-anak bertanya khabar. Ada anak-anak yang tidak langsung menghulurkan wang kepada ibu atau bapa mereka apabila mereka mendapat gaji. Kononnya nak makan pun tak lepas. Adakah wang mereka cukup walau tidak menghulurkan kepada orang tua mereka? Tetap tidak cukup malah mereka dengan tanpa rasa segan meminta dari orang tua mereka.

Telefon ibubapa. Mereka hanya ingin anak mereka bersikap mengambil tahu
Hubungilah orang tua anda sekurang-kurangnya seminggu sekali

Hulurlah walau sedikit setiap kali anda mendapat gaji. Dengan cara itu Allah akan memberkati hidup anda dan lama-kelamaan hasil yang sedikit akn menjadi seperti banyak dan mencukupi. Itulah keberkatan.

Di saat mereka menghadapi usia tua dan tenaga mula hilang serta sakit juga mendatangi mereka, mereka hanya mengharapkan sedikit pengorbanan anak-anak untuk mengambil tahu tentang mereka. Bukannya mereka mahu anak-anak untuk menanggung bebanan kesakitan seperti melahirkan anak-anak dahulu.

ALPA DAN ANGKUH

Ada anak yang sudah dewasa alpa dan angkuh dengan kehidupan mereka. Mereka rimas dengan kehadiran ibu bapa yang dianggap mengganggu dan menyebabkan mereka stress. Rasulullah SAW banyak kali berpesan mengenai martabat seseorang ibu yang perlu ditaati oleh anak.

Antara hadis Rasulullah SAW mafhumnya:

Daripada Abdullah bin Mas’ud, mereka telah bertanya Nabi SAW: “Amalan manakah yang paling utama?” Nabi SAW menjawab: “Bersolatlah pada waktunya.”

Aku berkata: “Kemudian apa?” Nabi SAW bersabda: “Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.”

Aku berkata: “Kemudian apa lagi?” Nabi SAW bersabda: “Berjihad di jalan ALLAH.” (Riwayat Bukhari)

Dalam konteks mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah termasuk dikalangan ibu bapa yang bukan Islam ataupun ibu bapa mereka tidak tergolong dalam kelompok orang yang baik-baik. Tuntutan Islam masih tetap bertegas agar kita berbuat baik kepada mereka.

Renung firman ALLAH dalam Surah Luqman ayat 15.

Betapa besarnya tuntutan Islam dalam konteks mentaati setiap apa yang disuruh dan berbuat baik kepada ibu bapa. Walaupun mereka dikalangan orang yang syirik kepada Allah dan seorang yang mungkar atau merupakan ibu bapa yang jahat atau berbeza agama sekalipun, anak tetap wajib berbuat baik kepada mereka.

Apatah lagi jika arahan yang diberi supaya melakukan perkara kebaikan, meminta sesuatu yang tidak dilarang oleh ALLAH untuk kita laksanakannya atau memberi teguran dan nasihat serta larangan untuk kebaikan kita, sudah tentulah kita wajib mentaatinya dan hendaklah membalas budi mereka.

Anak derhaka tiada tempat disisi Allah
Hormatilah ibu anda dan jangan sesekali mengkasari ibubapa

TAK MAMPU URUS

Lihat ragam sebahagian anak-anak yang menziarahi ibu bapa mereka di hospital, mereka memberikan bermacam alasan seperti mereka tidak mahir menguruskan ibu bapa yang sudah tua. Bagi mereka sudah cukup dengan mengeluarkan belanja atau mengupah orang lain untuk mengambil berat tentang keperluan ibu bapa mereka.

Ada yang memberi alasan tidak biasa untuk memandikan ibu bapa, bagaimana nak membersihkan najis ataupun geli dengan muntah dan kudis yang bernanah saat mereka tua. Cuba bayangkan saat ibu bapa menyambut kelahiran anak, mereka sangat gembira walau dalam keadaan yang sakit dan susah.Kegembiraan yang tidak mungkin ditutur dengan kata-kata. Selepas itu perlu menjaga sehingga besar serta mencuci najis, muntah dan sebagainya. Mereka juga tidak biasa sebelumnya.

Cuba kita fikir jika ianya terjadi kepada kita disaat kita tua dan memerlukan perhatian anak-anak nanti.

Ada juga anak-anak yang begitu berkira dengan setiap perbelanjaan untuk ibu bapa mereka. Walhal ibu bapa dah berhabis dan berhutang semasa membesarkan mereka. Namun bagi anak-anak, mereka berasa berat untuk menggunakan wang dan harta mereka untuk membahagiakan ibu bapa.

Sesetengah masyarakat kita mengatur perbelanjaan untuk menjaga ibu bapa disaat mereka tidak berdaya lagi mengatur kehidupan mereka sendiri. Ada anak membahagi-bahagikan kos pembiayaannya agar sama-sama ditanggung oleh saudara mereka yang lain. Apalah salahnya jika masing-masing berebut mengeluarkan belanja demi ibu bapa kerana inilah masanya untuk membalas jasa mereka.

INSAFLAH WAHAI ANAK

Sedar atau tidak, kita adalah anak kepada kedua ibu bapa kita sejak dilahirkan sehingga akhir hayat kita. Kita harus menginsafi, menjaga dan membahagiakan ibu bapa terutamanya di saat mereka meniti usia tua. Ini adalah kewajipan kita bukannya bebanan.

SEGERALAH berbuat baik, berkorbanlah dan berilah kebahagiaan kepada ibu bapa. Gembirakan hati mereka dan ceriakan hidup mereka untuk menikmati kehidupan. Suatu ketika dahulu mereka telah usahakan untuk kita sehingga kita hidup sampai hari ini. Turutilah segala kata-kata dan nasihat mereka yang tidak bercanggah dengan hukum Allah serta yakinlah betapa mereka tidak pernah dengki atau mengkhianati apatah lagi memusuhi kita.

Anak-anak! Tolong renungkan kembali, apakah semua pesanan yang pernah diungkapkan oleh ibu bapa selama membesarkan kita sudah terlaksana atau terus terabai. Ada atau tidak tingkahlaku kita, kata-kata kita yang menghiris hati mereka, atau tindakan kita yang tidak disenangi mereka. Sedari kecil, jika dihimpunkan segala macam nasihat dan panduan hidup oleh ibu bapa, terlalu banyak dan terlalu berguna.

Wajib berbuat baik kepada kedua ibubapa
Berbuatlah baik pada kedua ibubapa anda walau hanya sekadar sedekah Al Fatihah untuk mereka

Insaflah wahai anak-anak! Sesungguhnya tanpa kita sedar kadangkala tidak mendengar nasihat dan teguran mereka. Suatu hari kita akan menyesal dan ingin sekali mendengar teguran serta nasihat mereka, yang ketika itu mungkin mereka tidak lagi mampu bersuara atau telah lama meninggalkan kita.

Walau kita sudah besar, walaupun kita pandai, Adakah kita seorang anak yang baik atau yang mendengar cakap mereka. Pendek kata, Adakah kita bukan tergolong dalam ANAK DERHAKA? Wallaua’lam.

Cara Elak Semut Masuk Ke Dalam Air Masak

6 Perkara Yang Merosakkan Hati Manusia Walaupun Tidak Meminum Arak