in , ,

Khairat Kematian – Tidak Semua Waris Tahu Mengenainya

Khairat Kematian

Terlalu ramai waris tidak membuat tuntutan KHAIRAT KEMATIAN kerana mereka tidak mengetahui bahawa simati telah menyertai apa-apa skim yang mempunyai Khairat Kematian semasa hidup. Ini berpunca dari sikap simati sendiri semasa hayatnya tidak menceritakan perkara tersebut kepada keluarganya.

Apa Itu Khairat Kematian?

Khairat Kematian adalah “satu kumpulan wang tabungan yang disertai oleh seseorang untuk tujuan kebajikan bagi menguruskan jenazahnya dan sumbangan kepada keluarganya apabila dia meninggal dunia”. Objektif utama wang khairat kematian adalah KEBAJIKAN.

bantuan pengkebumian,
Tujuan utama Khairat Kematian adalah belanja pengurusan jenazah

Prosedur tuntutan bagi Khairat Kematian tidak terlalu rumit manakala proses pembayarannya juga cepat bersesuaian dengan fungsi utamanya sebagai bantuan kewangan urusan pengekebumian jenazah.

Berikut adalah senaraikan khairat kematian yang waris terdekat boleh menuntutnya setelah berlaku kematian pemegang (AHLI).

1. Khairat Kematian Khariah Masjid. Akan diberikan kepada waris antara RM 500 hingga RM 5,000 dengan syarat simati menjadi ahli/mencarum di khariah tersebut.

2. Khairat Kematian PERKESO. Akan diberikan kepada waris antara RM1,500 hingga RM2,000
dengan syarat simati menjadi ahli atau pernah mencarum dengan PERKESO.

3. Khairat Kematian KWSP. Akan diberikan kepada waris sebanyak RM 2,500 dengan syarat simati adalah ahli atau pencarum KWSP dan belum mencapai usia 55 tahun semasa kematian.

4. Bantuan Mengurus Jenazah JPA. Akan diberikan kepada waris sebanyak RM 3,000 dengan syarat simati adalah Pesara atau Kakitangan Awam.

5. Khairat Kematian BRIM.  Akan diberikan kepada waris sebanyak RM 1,000 dengan syarat simati adalah penerima BRIM. Penerima yang layak adalah mereka dalam kategori Isi Rumah, E-Kasih & Warga Emas yang meninggal dunia sahaja. Yang masih bujang tidak layak. Buat tuntutan di mana-mana Cawangan BSN.

6. Khairat Kematian ASNB. ASNB memberikan khairat kematian kepada waris pendeposit di dalam akaun ASB/ ASN/ ASW 2020 atau apa sahaja amanah saham terbitan PNB. Khairat Kematian ASNB adalah mengikut kadar berikut :

  • RM200 Tunai bagi pelaburan 1 unit hingga 4,999 unit + RM800 bantuan keluarga kurang berkemampuan dalam bentuk Cek.
  • RM1,000 bagi pelaburan 5,000 unit hingga 10,000 unit.
  • RM2,000 bagi pelaburan 10,001 unit dan ke atas.

Tuntutan khairat kematian hendaklah dibuat dalam masa 6 bulan selepas kematian pemegang akaun di pejabat dan cawangan ASNB.

7. Khairat Kematian Skim Takaful.  Akan diberikan kepada waris antara RM 2,000 hingga RM 5,000 dengan syarat simati menyertai skim takaful.

pemberian khairat kematian,
Waris menerima khariat kematian

8. Khairat Kematian Persatuan Berdaftar/NGO/Koperasi. Akan diberikan kepada waris antara RM 500 hingga RM 5,000 dengan syarat: si mati adalah ahli berbayar persatuan/NGO/Koperasi berkaitan.

9. Khairat Kematian Peneroka Felda. Akan dibayar kepada waris sebanyak RM10,000. Bayaran pendahuluan RM3,000 akan dibayar serta merta oleh Pengurus Rancangan manakala baki RM7,000 akan dibayar setelah waris menguruskan tuntutan dalam masa seminggu menggunakan Borang Khairat Kematian Peneroka.

10. Khairat Kematian PTPTN . Akan dibayar kepada waris sebanyak RM2,000 sekiranya berlaku kematian ke atas peminjam atau pendeposit PTPTN, tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

11. Khairat Kematian Bank Rakyat . Akan dibayar kepada waris sebanyak RM1,000 dengan syarat mempunyai akaun Bank Rakyat. Tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kematian.

12. Khairat Kematian Pemegang Kad Kredit Islamik (Tidak Semua Kad Kredit). Sebelum anda meninggal dunia, elok anda memeriksa kad kredit anda samada mempunyai Pelan Perlindungan Takaful (Perlindungan untuk menyelesaikan baki tertunggak jika pemegang meninggal dunia tanpa membebankan pewaris) berserta Khairat Kematian. Biasanya waris menerima RM1,000.

13. Khairat Kematian JHEV (Untuk Bekas Tentera). Layak untuk bekas tentera yang berpencen dan tidak berpencen yang akan dibayar oleh Yayasan Veteran ATM seperti berikut:

  • Untuk bekas anggota tentera sebanyak RM3,000.
  • Untuk Isteri yang dikahwini semasa dalam perkhidmatan layak menerima RM1,500.
  • Untuk anak berumur di bawah 18 tahun dan anak yang berumur 21 tahun yang sedang belajar layak menerima RM1500.

14. Khairat Kematian Tabung Haji . Hanya diberikan jika pencarum meninggal dunia ketika menunaikan Ibadah Haji di Mekah sahaja.

15. Khairat Kematian Negeri Selangor:

Khairat Kematian Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS). Khairat Kematian ini adalah dibawah Skim Tabung Warisan Anak Selangor yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk Ahli TAWAS yang meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.

Ibubapa atau penjaga boleh menuntut sumbangan bernilai RM1500.00 di pejabat TAWAS / YAWAS.

Skim ini hanya memberi perlindungan kepada anak Selangor dan di dalam negeri Selangor sahaja. Bagi negeri lain, sila periksa dengan negeri masing-masing.

Khairat Kematian Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Skim ini sebagai menghargai warga emas, tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial.

Merupakan pemberian percuma Kerajaan Negeri Selangor kepada warga emas dan OKU yang layak. Apabila ahli meninggal dunia, penama yang berdaftar bolehlah menuntut dari Pusat Khidmat DUN di tempat mereka didaftarkan dan sumbangan khairat kematian atau manfaat sebanyak RM2,500 diberikan.

RUMUSAN

Selepas membaca artikel ini, seeloknya kita memberitahu kepada ahli keluarga kita tentang hal yang berkaitan Khairat Kematian ini. Ia juga bagi memudahkan ahli keluarga kita apabila kita tiada kelak.

Kita sebagai ahli keluarga juga perlu mengambil tahu apakah hak-hak simati (Khairat Kematian) kerana tidak semua simati memberitahu kepada kita. Sila kongsikan supaya dapat membantu orang yang tidak mengetahui mengenainya sepertimana kita sendiri juga yang tidak tahu sepenuhnya.

Allah akan membantu kita jika kita memudahkan sesuatu urusan orang lain. Wallahu a’lam.

Sumber: Peguam Syarie, Planet Jaeger & JHEV

Tanda Awal Gangguan Makhluk Halus

Simptom Awal Gangguan Jin dan Syaitan Pada Diri Anda

6 Kelebiha Solat Sunat Dhuha

6 Kelebihan Melakukan Solat Sunat Dhuha