in

Kisah Disebalik Lagu Taman Rashidah Utama

Kumpulan Wings adalah antara kumpulan rock 80an yang kekal popular hingga kini. Antara lagu keramat mereka ketika itu adalah Taman Rashidah Utama. Lagu tersebut adalah ciptaan Bob Lokman.

Lagu tersebut diterbitkan pada tahun 1988 dan sudah mencecah 30 tahun menerusi album Wings Hukum Karma. Lagu ini masih segar dan popular serta diterima baik peminat muzik tempatan samada yang lama dan baru.

Bob Lokman sebenarnya mempunyai cerita yang tersendiri sehingga mendapat ilham untuk menulis lagu tersebut dan menjadi sebuah lagu hits hingga kini.

WUJUDKAH TAMAN RASHIDAH UTAMA?

Bob Lokman menceritakan kepada New Straits Times tentang terhasilnya lagu tersebut. Di Senawang, iaitu kira-kira 10 kilometer dari Bandar Seremban terdapat satu taman perumahan yang dinamakan Taman Rashidah Utama. Rupa-rupanya tajuk lagu popular kumpulan Wings itu adalah bersempena dengan nama tempat tersebut.

Bob Lokman, Taman Rashidah Utama
Photo: Media Hijrah

Kisahnya begini.

Ketika Bob berusia lewat 20-an, beliau telah mengenali sorang gadis berusia 14 tahun dan dia benar-benar jatuh cinta pada gadis. Akhirnya Bob mendapat tahu yang gadis tersebut tinggal di Taman Rashidah Utama, Seremban. Pada masa itu Bob berulang-alik dari KL ke Seremban kerana Studio tempat Kumpulan Wings berlatih terletak di sana.

“Pada satu hari gadis tersebut singgah di studio dengan kawan-kawannya untuk bertemu dengan Kumpulan Wings. Bagi saya, dia sangat cantik tapi saya tidak pernah dihiraukannya. Walau bagaimanapun saya tetap suka padanya dan kami kekal berkawan”.

PINANGAN DITOLAK

Boleh dikatakan setiap hari Bob sanggup berulang dari Seremban semata-mata untuk melihat gadis itu dari jauh ketika dia menunggu bas sekolah setiap pagi.

Bob sanggup menunggu sehingga gadis tersebut habis sekolah dan merancang berjumpa dengan keluarganya untuk  meminang. Walau bagaimanapun gadis tersebut menjelaskan bahawa dia memang tidak ada perasaan terhadap Bob.

“Saya tetap menghantar rombongan meminang, namun pinangan saya ditolak. Saya sangat kecewa dan patah hati”.

Walaupun pinangan ditolak dan kecewa, Bob tetap ke Seremban dan melalui perumahan itu untuk melihat gadis tersebut walaupun sekejap. Dari situlah datang ilham untuk Bob mencipta lagu Taman Rashidah Utama yang akhirnya meletup.

SIAPA GADIS TERSEBUT

Tanpa kita duga, gadis yang menjadi kegilaan Bob Lokman adalah pelakon popular Aida Aris. Setelah Aida menjadi pelakon, mereka kekal berkawan sehinggalah ke hari ini. Bob memberitahu mereka sering tergelak mengenangkan peristiwa itu.

Pelakon Aida Aris
Aida Aris. Photo: SH

“Aida ada mencadangkan agar saya membuat kisah kami ini untuk dijadikan drama tetapi sehingga kini idea tersebut masih tidak direalisasikan”.

Taman Rashidah Utama bukan sekadar patah hati, tetapi mengingatkan kita bahawa jika kita buat sesuatu ikhlas dari hati, ia akan membawa kita ke suatu arah yang tak pernah diduga.

MASALAH KESIHATAN

Bob Lokman. Photo: buletinonline

Bob kini mengalami masalah jantung dan paru-paru. Beliau mohon agar peminat mendoakannya agar dia kembali sihat dan dipermudahkan segala urusan. Semoga Bob Lokman tabah dan kembali sihat. Amin…

Sumber: Media Hijrah

Semakan Daftar Pemilih PRU14 (Semakan Online SPR 2018)

Kelebihan Biji Selasih Untuk Merawat Penyakit Gastrik