sukaviral.net

14 Tip Mencegah Kebakaran Di Kediaman Anda & Tindakan Yang Anda Harus Lakukan Jika Berlaku Kebakaran

Banyak kebakaran yang berlaku di premis kediaman adalah berpunca daripada kecuaian dan kejahilan kita sendiri. Kebanyakan isi rumah tidak tahu hal-hal yang berkaitan dengan mencegah kebakaran. Sebenarnya ianya sangat mudah dicegah dan patut diketahui oleh semua orang.

Adalah penting untuk anda mengetahui kemungkinan terdapat bahaya kebakaran di sekitar kediaman anda. Anda hendaklah mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri sendiri dan keluarga anda daripada menjadi mangsa kebakaran.

AWAS: Kebakaran boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

Ikuti tip-tip pencegahan kebakaran yang disenaraikan di bawah untuk melindungi diri anda dan keluarga anda. Sayangilah keluarga anda.

KEBERSIHAN RUMAH TERJAGA

  • Kurangkan jumlah bahan mudah terbakar di dalam rumah anda.
  • Pastikan mempunyai laluan kecemasan yang selamat.
  • Pastikan kawasan laluan dan tangga tiada halangan.
  • Pastikan tiada bahan mudah terbakar diletakkan di bawah tangga. Letakkan di tempat khas.
Tentukan laluan di tangga tiada halangan
Pastikan tangga atau mana-mana laluan tiada halangan

PASANG PENGESAN ASAP

  • Pasang pengesan asap di setiap tingkat atau ruang rumah anda, terutamanya di kawasan yang tidak di duduki semasa anda dan keluarga anda tidur.
  • Pengesan asap akan memberi amaran awal kepada anda jika berlaku kebakaran terutamanya ketika anda sedang nyenyak tidur.
  • Anda mempunyai masa untuk menyelamatkan diri.
Pengesan asap memberi amaran awal jika berlaku kebakaran
Pengesan Asap

CARA PENGGUNAAN ALAT ELEKTRIK

  • Menggunakan peralatan elektrik yang salah atau yang mengalami kerosakan boleh mengundang padah.
  • Ini disebabkan ia boleh menghasilkan haba dan percikan api yang berfungsi sebagai sumber pencucuhan terutamanya jika ianya hampir dengan bahan mudah terbakar.
  • Wayar elektrik itu sendiri adalah bahan mudah terbakar. Pastikan wayar elektrik yang putus atau rosak tidak bersambung dan dibalut dengan pita pelekat.
  • Pastikan plug yang digunakan tidak rosak dan bersesuaian dengan bebanan.
  • Pastikan semua sambungan pada plug atau soket tidak longgar.
  • Adaptor adalah tidak digalakkan.
  • Jangan menggunakan beban yang berlebihan pada satu plug.
  • Tutup suis elektrik yang tidak digunakan jika hendak meninggalkan rumah.
  • Jangan menggunakan peralatan elektrik yang rosak.
Menggunakan soket yang longgar boleh menyebabkan kebakaran
Pastikan ‘plug’ tidak longgar dan tidak melebihi beban

AMARAN: Setiap tahun, kebakaran yang berpunca daripada elektrik menyebabkan beratus-ratus kematian dan beribu-ribu cedera. Oleh itu mengetahui serba sedikit peraturan asas keselamatan elektrik boleh mengurangkan risiko.

SIMPANAN CECAIR MUDAH TERBAKAR

  • Cecair mudah terbakar seperti minyak, cat dan tiner mesti disimpan jauh dari sumber pencucuhan dan mempunyai ruang pengudaraan.
  • Cecair mudah terbakar harus disimpan di dalam bekas keselamatan (takung) yang diluluskan.
  • Seeloknya disimpan di luar rumah iaitu di tempat simpanan yang berasingan.
  • Hadkan jumlah cecair mudah terbakar kepada jumlah minimum yang perlu sahaja.
Bahan mudah terbakar seeloknya disimpan di luar rumah iaitu di tempat simpanan yang berasingan
Contoh simpanan bahan-bahan mudah terbakar.

ALAT PEMADAM API

Pastikan rumah anda mempunyai sekurang-kurangnya dua alat pemadam api jenis ABC. Ini memudahkan anda memadam kebakaran diperingkat permulaan. Jika sudah ada alat pemadam api, pastikan:

  • Anda tahu cara menggunakan alat pemadam api tersebut.
  • Letakkan alat pemadam api di dapur, garaj, dan bengkel.
  • Ingat! Alat pemadam api hanya untuk digunakan ketika kebakaran diperingkat permulaan dan atau kebakaran kecil.
  • Jika terdapat kebakaran besar, JANGAN cuba untuk memadam api tetapi keluar segera dan panggil pasukan Bomba.
Letakkan alat pemadam api di dapur, garaj, dan bengkel.
Alat Pemadam Api Kecil

PELAN MENYELAMAT DIRI

  • Jika berlaku kebakaran di rumah anda, bawa keluarga anda keluar.
  • Sediakan pelan menyelamatkan diri.
  • Pastikan ada pelan A dan B untuk keluar menyelamatkan diri.
  • Jangan menghalang pintu keluar dengan perabot.
  • Pastikan jeriji besi boleh dibuka dari dalam. Jangan jadikan rumah anda sebagai perangkap maut.
  • Pastikan ada tempat berkumpul jika berlaku kecemasan
  • Apabila sudah keluar, jangan sesekali masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar.
  • Adakah latihan menyelamat diri untuk keluarga sekurang-kurangnya 6 bulan sekali
  • Jangan gunakan lif ketika kebakaran. Sila gunakan tangga kecemasan.
Sediakan pelan menyelamatkan diri di rumah anda
Adakan plan untuk menyelamat diri dan keluarga anda

PENGGUNAAN LILIN

Apabila tiada bekalan elektrik di rumah, pastinya anda akan menggunakan lilin sebagai sumber cahaya. Lilin sebenarnya merupakan salah satu punca kebakaran. Ketahui cara menggunakan lilin dengan betul dan selamat.

  • Padamkan semua lilin apabila keluar dari bilik atau tidur.
  • Jauhkan lilin dari bahan mudah terbakar seperti kain, buku, kertas, langsir dll.
  • Gunakan pemegang lilin yang kukuh.
  • Jauhkan lilin  dari cecair mudah terbakar.
  • Pastikan lilin tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak.
  • Elakkan kanak-kanak mempunyai lilin di bilik tidur mereka.
  • Jangan sekali-kali meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan di dalam bilik yang dipasang lilin.
  • Cuba elakkan membawa lilin yang sedang menyala ketika gangguan elektrik untuk mencari sesuatu di ruang terkurung. Gunakan lampu picit yang diletakkan di tempat khas.
  • Jangan gunakan lilin untuk memeriksa kawasan simpanan cecair mudah terbakar atau tangki minyak motosikal.
Jauhkan lilin dari bahan mudah terbakar seperti kain, buku, kertas, langsir.
Jauhi lilin dari bahan yang mudah terbakar

BERHATI-HATI KETIKA MEMASAK

Kecuaian ketika memasak juga merupakan punca utama kebakaran premis kediaman.

  • Apabila anda memasak, berhati-hati. Jangan memasak jika ada tugas lain. Tentukan ada pengawasan.
  • Sekiranya api membakar minyak di dalam kuali, letakkan tudung ke atas kuali atau tutup dengan tuala basah untuk menghalang api, kemudian tutup injap api atau gas.
  • Jangan siram air jika minyak dalam kuali terbakar. Ia akan memarakkan api atau api akan melompat keluar seterusnya membakar tempat lain.
  • Sentiasa pastikan peralatan dapur bersih dan dalam keadaan baik.
  • Tutup dan matikan semua suis letrik dan injap gas apabila tidak digunakan.
 Tentukan ada pengawasan ketika sedang memasak
Memasak tanpa pengawasan sememangnya merbahaya.

MENGAWASI TABIAT MEROKOK

  • Membuang puntung rokok sesuka hati boleh menyebabkan kebakaran jika terkena bahan mudah terbakar. Contohnya sawang.
  • Pastikan puntung rokok dibuang ke dalam bekas abu rokok.
  • Seeloknya bekas abu rokok itu tebal dan dalam serta diisi pasir atau air.
  • Periksa di bawah sofa dan kusyen selepas tetamu yang merokok meninggalkan rumah anda.
  • Jangan merokok terutamanya jika anda mengantuk atau ketika anda sedang berbaring. Banyak kebakaran berlaku disebabkan tertidur semasa merokok.
  • Seeloknya buat undang-undang sendiri dan patuhi agar merokok di luar kawasan rumah sahaja.
Pastikan puntung rokok dibuang ke dalam bekas abu rokok.
Awasilah tabiat merokok anda.

PENGGUNAAN UBAT NYAMUK

Penggunaan ubat nyamuk juga menyumbang kepada kejadian kebakaran. oleh itu anda hendaklah:

  • Pasang ubat nyamuk di dalam bekas yang bertutup.
  • Jauhkan dari bahan mudah terbakar.
  • Padam jika tidak digunakan.
  • Seeloknya guna kelambu semasa tidur, anda akan lebih selamat.
Jauhkan ubat nyamuk dari bahan mudah terbakar.
Berhati-hati jika anda menggunakan lingkaran ubat nyamuk.

TINDAKAN JIKA PAKAIAN TERBAKAR

Gunakan peraturan Berhenti, Baring dan Berguling!

Semua orang harus tahu peraturan ini: Jika pakaian yang sedang anda pakai terbakar, jangan lari! Berhenti segera, rebahkan badan ke tanah, tutup muka anda dengan tangan bagi melindungi muka dan paru-paru anda dan berguling-guling sehingga api terpadam.

Jika diri anda terbakar, Berhenti, Baring dan Berguling
Tindakan jika pakaian anda terbakar

TERPERANGKAP DALAM ASAP – TINDAKAN ANDA

  • Merangkak serendah mungkin di bawah asap. Dengan merangkak atau bergerak sambil meniarap (crawl), anda mungkin akan nampak pintu keluar dan kurang terhidu asap beracun.
  • Asap dari hasil kebakaran sangat berbahaya! Sekiranya anda terperangkap dalam asap, gunakan laluan keluar kecemasan dengan segera.
  • Udara bersih yang tinggal adalah pada ketinggian 12 hingga 24 inci (30 hingga 60 cm) dari paras atas lantai.
  • Oleh itu anda hendaklah merangkak untuk mencari pintu keluar yang selamat.
  • Jika terjumpa pintu, rasakan pintu atau tombol pintu dengan belakang tangan. Jika panas, cari pintu lain.
  • Jika waktu malam yang gelap, merangkak menyusuri tepi dinding. Anda akan pasti jumpa pintu keluar.
  • Sebolehnya tutup hidung anda samada dengan kain, tuala atau pakaian anda.
  • Sentiasa bawa telefon bimbit anda.
Anda hendaklah merangkak jika terperangkap di dalam asap jika berlaku kebakaran
Tindakan jika terperangkap di dalam asap

TERPERANGKAP DALAM KEBAKARAN

# Terperangkap di dalam bilik

  • Tutup semua pintu dan lubang dengan pita pelekat atau tuala untuk mengelakkan asap dari memasuki bilik.
  • Tutup seberapa banyak pintu yang ada antara anda dan api.
  • Buka tingkap di bahagian atas dan bawah supaya udara segar dapat masuk.
  • Bersedia untuk menutup tingkap dengan segera jika anda mendapati ada asap masuk ke dalam bilik.
  • Bersedia untuk memberi isyarat kepada seseorang di luar.
Tutup semua pintu dan lubang dengan pita pelekat atau tuala untuk mengelakkan asap dari memasuki bilik
Pastikan Asap Tidak Memasuki Bilik Yang Anda Terperangkap

# Jika Terpaksa Bergerak Di Kawasan Terbakar

  • Tahan nafas anda.
  • Tutup kepala dan rambut anda.
  • Jaga kepala dan mata anda, tutup sebaik mungkin.
  • Bergerak dengan pantas.

JIKA KEBAKARAN BERLAKU – APA ANDA HARUS BUAT?

  • Bunyikan Penggera Kebakaran.
  • Jerit Api! Api! Api!
  • Hubungi Bomba Berdekatan atau Dail 994 atau 999
  • Cuba memadam kebakaran jika diperingkat permulaan.
  • Tutup Suis Utama letrik dan gas memasak.
  • Keluar dari bangunan segera. Jika bangunan tinggi sila gunakan tangga kecemasan.
  • Tutup Pintu Penghadang Kebakaran – Jangan gunakan lif.
  • Berkumpul di tempat yang dikhaskan.
Sila dail talian kecemasan 999 atau 994
Hubungi Bomba jika berlaku kebakaran

Sumber: RMAF Fire School Notes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *