PH bentuk kerajaan Negeri Perak

Pakatan Harapan Diberi Mandat Bentuk Kerajaan Negeri Perak

IPOH, 12 Mei – Pakatan Harapan Negeri Perak diberi mandat untuk pembentukan kerajaan negeri apabila mereka membuktikan bahawa mereka berjaya memperoleh majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bernama melaporkan, Pakatan Harapan memperolehi mandat itu setelah dua Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili Barisan Nasional (BN) memilih untuk menyertai Pakatan Harapan.

PH diberi mandat bentuk kerajaan negeri perak
Pakatan Harapan Perak. @ Bernama

Keputusan ini disahkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu.

Beliau memberitahu kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, di sini hari ini bahawa Tuanku Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah berpuas hati dengan jumlah majoriti mudah yang mereka perolehi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu Pakatan Harapan memenangi 29 daripada 59 kerusi DUN Perak.

Semalam Sultan Perak memberi tempoh sehingga hari ini supaya kedua-dua pihak yang memenangi PRU 14 yang lalu membuktikan bahawa mereka mempunyai kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

Akhirnya Pakatan Harapan berjaya memperolehi mandat tersebut setelah dua Ahli Dewan undangan Negeri BN menyertai mereka.