Apakah yang akan anda lakukan dan apa tindakan anda nanti sekiranya terjadi kemalangan sama ada kecil atau besar ketika anda sedang memandu di lebuhraya PLUS? Tentunya kita akan menjadi panik dan tertanya-tanya apakah yang harus kita lakukan tambahan pula pada masa itu ada yang mengalami kecederaan atau kemalangan. Keadaan ini akan menjadi lebih rumit sekiranya kita tidak bersedia dan tidak tahu apa yang harus dibuat.

Sekiranya anda terlibat dalam berbagai jenis punca kemalangan di Lebuhraya PLUS seperti terlanggar besi di tengah jalan, kayu, batu, serpihan tayar pecah, serpihan bumper, binatang liar atau lain lain, anda wajib mengikut beberapa panduan yang amat berguna seperti di bawah.
ANDA HARUS MENGHUBUNGI OPERATOR PLUS
Hubungi pihak PLUS RONDA 1-800-88-00-00 atau melalui Telefon Kecemasan (SOS) yang disediakan. Jika kita terlanggar objek-objek sehingga menyebabkan kerosakan di dalam lebuhraya PLUS, anda boleh membuat tuntutan ganti rugi dengan pihak PLUS, kerana setiap kenderaan yang melalui lebuhraya telah diinsurankan dan menjadi tanggungjawab mereka.

DAPATKAN MAKLUMAT KEMALANGAN
Perlu memberikan maklumat lokasi kemalangan dan punca, lebih baik jika mengetahu berlaku di KM berapa dan arah perjalanan anda. Tanda KM berapa ada diletakkan pada papan kecil berhampiran besi penghadang lebuhraya.

EXIT LEBUHRAYA
Jika kenderaan masih boleh bergerak, jalan perlahan-lahan di lorong kecemasan dan pastikan lampu kecemasan (hazard light) dinyalakan. Kemudian keluar (Exit) di mana-mana kawasan tol yang berhampiran. Pastikan resit tol diambil (untuk membuat tuntutan) dan sekiranya menggunakan Touch & Go atau Smart Tag, nombor siri kad di perlukan.

LAPORAN
Terus membuat laporan di kaunter plaza tol tentang kemalangan. Pastikan wakil pihak PLUS akan memeriksa kenderaan dan mengambil gambar sebagai bukti.
LAPORAN POLIS
Seterusnya anda perlu membuat laporan polis di balai polis yang berdekatan. Ianya sebagai rujukan perundangan dan juga proses bagi kes kemalangan.

TUNTUTAN (CLAIM)
Isikan borang tuntutan kepada pihak PLUS berserta laporan polis dan gambar kenderaan anda sebelum dan selepas di baiki. Kebiasaannya anda perlu membaiki kenderaan sendiri dengan menggunakan insuran ataupun dari sumber sendiri. Borang tuntutan yang lengkap diisi dan hendaklah dihantar kepada pihak PLUS dalam tempoh masa 30 hari.

Pastikan anda sentiasa fokus dan ambil perhatian ketika memandu. Jika anda terlalu letih anda haruslah singgah di mana-mana perhentian dan berehat sebelum anda meneruskan perjalanan anda.

Hati-hati di jalan raya
Selamat memandu!