Peluang pasukan Kedah untuk menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok teratas tampak cerah selepas berjaya menang keatas pasukan Sabah 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Pasukan Kedah Teruskan Rentak Kemenangan
Ini merupakan kemenangan yang keempat berturut-turut pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak sejak saingan liga kembali bersambung membolehkan skuad Lang Merah mengutip mata maksimum dan kembali memintas Perak dengan kelebihan dua mata untuk menduduki tangga kedua liga selepas mengumpul keseluruhan 16 mata.
Pada perlawanan malam tadi, Kedah juga terpaksa bekerja keras memandangkan Sabah juga memerlukan kemenangan bagi menyelamatkan pasukan daripada zon penyingkiran.

Namun Kedah membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi tandukan pemain import dari Liberia, Kpah Sherman yang menyambar hantaran lintang Kipre Tchetche.
Pasukan Kedah tersentak seminit kemudian apabila Sabah menyamakan kedudukan menerusi rembatan pemain kacukan Thailand-Jerman, Dennis Buschening.
Memasuki babak kedua perlawanan, Kedah memperoleh gol kedua mereka pada minit ke-70 menerusi Tchetche sebelum Fayadh Zulkifli Amin berjaya meletakkan Kedah di kedudukan selesa 3-1, lima minit kemudian menerusi rembatan kencang di sebelah kanan pintu gol Sabah.
Sumber – BERNAMA
Perlawanan antara Kedah dan Sabah sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Sabtu lepas namun terpaksa ditunda dan diubah venue peralawanan susulan Pelaksanaan PKPD di 28 mukim di Kota Setar sehingga Jumaat depan. –SUKA VIRAL