in

Pemaaf Merupakan Sifat Orang Mukmin

Pemaaf Mulia Disisi Allah

Assalamualaikum w.b.t, buat pembaca yang budiman…

Insan yang bergelar manusia sememangnya ada kelemahan dan kekurangan masing-masing. Manusia sering kali melakukan kesalahan dan kesilapan. Kesilapan yang dilakukan itu samada dengan sengaja ataupun tidak. Terdapat dua jenis kesalahan iaitu kesalahan sesama manusia dan kesalahan dengan Allah.

Bermaafan adalah salah satu di antara ajaran Islam yang sangat agung, Memaafkan bererti orang lain yang mempunyai kesalahan dan kita memberi kemaafan kepadanya. Jika kita juga mempunyai kesalahan maka wajib bagi kita untuk meminta maaf. Ingat! Wajib.

Kesalahan sesama manusia mempunyai jalan penyelesaiannya begitu juga kesalahan dengan Maha Pencipta. Jalan terbaik adalah dengan meminta maaf atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Apabila pihak yang bersalah memohon maaf, pihak satu lagi seeloknya memberi maaf. Ianya sangat mulia di sisi Allah. Menyimpan dendam tiada kesudahannya. Ianya membawa kehancuran.

Pemaaf Mulia Disisi Allah

Orang yang mulia adalah orang yang suka memaafkan orang lain. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:

Musa bin Imran a.s, berkata: “Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? “Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Jika kesalahan dengan Allah S.W.T pula, jalan terbaiknya adalah bertaubat kepadanya. Banyakkan beristighfar kepada Allah S.W.T dan rajin-rajinlah melakukan sunat taubat serta meninggalkan larangannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Pengampun.

Allah tidak menyukai orang yang bersifat pendendam
Walaupun kadang kala sukar untuk memaafkan, tetapi ingatlah, ianya sangat dituntut dan mulia di sisi Allah.

Memafkan seseorang yang membuat salah terhadap kita, disaat kita tidak mampu untuk membalasnya adalah baik dan sedikit wajar, kerana kedudukan kita yang lemag pada saat itu. Sementara memaafkan seseorang yang membuat salah terdahap kita disaat kita mampu untuk membalasnya adalah lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah kerana pada saat itu kedudukan kita sangatlah kuat dan boleh melakukan apa saja yang kita mahu.

Ketika seseorang itu berusaha untuk menjadi pemaaf bererti ia telah berusaha untuk meniru sifat Allah S.W.T. iaitu Al-‘Afuwwu yang Maha Pemaaf. Sesaorang yang memaafkan orang lain adalah orang yang cuba menghilangkan luka hatinya akibat kesalahan yang di lakukan orang lain terhadapnya. Ianya sangat mulia di sisi Allah. Tidakkah anda mahu darjat kemuliaan ini?

Ingatlah saudaraku, dunia ini hanya sementara. AKhirat kelak kekal abadi dan di sanalah kita akan menghadapi kehidupan yang kekal yang penuh dengan kemewahan jika kita adalah orang yang bertaqwa dan beriman. Jika sebaliknya kesengsaraan kita adalah berkali ganda berbanding dengan secubis kesengsaraan di dunia.

BACA JUGA: Ruginya Orang Yang Mempunyai Sifat Dendam

Lawan Nafsu Amarah

Sifat pemaaf adalah sifat luhur dan mulia yang perlu ada pada diri setiap individu yang bernama muslim. Terdapat beberapa potong ayat al-Quran dan hadis yang menekankan tentang perlunya seseorang muslim itu bersifat pemaaf. Ianya antara yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah S.W.T. berfirman:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya:

“Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Mereka yang bersifat pemaaf merupakan golongan yang berjaya menahan nafsu amarah mereka tanpa ada rasa dendam dan sakit hati. Insan pemaaf adalah insan yang bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam. Dendam merupakan penyakit yang berpunca dari hati. Ianya sangat bahaya dan memberi banyak keburukan kepada orang yang berdendam itu sendiri.

Jika berlaku kesalahan sebelum ini eloklah saling diberi kemaafan dengan melupakan apa jua kepahitan yang terpaksa ditelan dengan menganggapnya sebagai takdir ilahi. Setiap individu Muslim perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak akan lenyap begitu saja lantaran kesilapan orang lain terhadap kita.

Allah Tidak Suka Sifat Orang Yang Bukan Pemaaf

Lihat pada berlaku kepada seorang sahabat Nabi SAW iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya fitnah terhadap anaknya iaitu Saidatina Aisyah yang juga isteri Rasulullah S.A.W.

Penyebaran fitnah dan pembohongan adalah perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian kehidupan insan seluruhnya. Ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar sangat marah kepada penfitnah tersebut.

Sayidina Abu Bakar bertindak memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat serta rakan yang terbabit dengan penyebaran fitnah itu. Sesunggunhnya Allah tidak menyukai tindakan Saidina Abu Bakar itu. Walhal beliau adalah sahabat Nabi SAW bahkan bapa mertuanya. Jika dinilai, siapakah kita di sisi Allah S.W.T.

Allah Berfirman:

وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya:

“Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihi.” (Surah An-Nur, ayat 22).

Demikianlah sifat Allah S.W.T. dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya sebelum mati sebagai bekalan selepas mati.

Dendam dan tidak memaafkan sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa yang lama. Sebaliknya jika keslahan atau kejahatan itu dibalas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terungkailah rasa dendam yang terpendam dalam diri selama ini. Kehidupan harian juga semakin berubah dan hati menjadi tenang.

Ubat Penyakit Hati

Sifat bermaafan juga perlu ada dalam institusi kekeluargaan. Seorang suami haruslah bersedia memaafkan kesalahan isteri begitu juga sifat seorang isteri. Mukmin sebenar akan memaafkan kesalahan pasangannya dan cuba bertolak ansur dan bertimbang rasa. Buangkan yang keruh ambil yang jernih. Jika kesalahan itu melibatkan perlanggaran hukum yang sangat berat, ada jalan penyelesaiannya. Yang penting memaafkan dan tiada dendam walaupun melibatkan perpisahan.

Perpisahan tidak semestinya menyimpan sifat dendam
Tiada rumahtangga yang tidak bergolak. Apapun berlaku kembali ke jalan Allah. Itu yang lebih penting.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“ Orang yang paling kuat bukanlah orang yang dapat menjatuhkan orang kuat lainnya, tetapi orang kuat yang sejati adalah yang dapat mengendalikan dirinya ketika marah”.

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas dan redha kerana semuanya adalah ketentuan Allah. Dengan itu ianya akan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika kita beribadat kepada Allah.

Sebagai makhluk yang lemah dan selalu membuat kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekalipun kita berada dipihak yang benar.

Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan isteri atau suami terlalu berat untuk memaafkan kesilapan pasangannya. Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting.

Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan. Sikap negatif begini jika dibiarkan berleluasa dalam diri kita hanya akan membawa kepada pecah-belah dalam keluarga dan anak-anak akan menjadi mangsa akibat penceraian. Sifat ego hendaklah dibuang sama sekali.

Contohi Sifat Nabi

Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik. Baginda tidak pernah menyimpan perasaan dendam dalam hati sekalipun pelbagai cara dilakukan oleh musuhnya. Rasulullah SAW pernah diracun oleh seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat baginda iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing beracun yang diberikan oleh perempuan itu, Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya. Malah baginda berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah. Akhirnya wanita itu memeluk agama Islam.

Sayidatina Aisyah berkata:

“Rasulullah S.A.W tidak pernah memukul sesiapapun, baik isteri mahupun pembantunya, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan baginda tidak pernah membalas sedikitpun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anas bin Malik menceritakan:

“Ketika aku bersama Rasulullah S.A.W, pada waktu itu baginda sedang mengenakan selimut tebal. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: ‘Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Sifat Pemaaf adalah Sifat Orang Mukmin

Marilah sama-sama kita mentarbiahkan diri kita untuk memberi kemaafan kepada sesiapapun tidak kira sebesar mana kesalahan mereka kerana dalam sifat pemaaf terkandung keberkatan dan kemuliaan yang sangat tinggi disisi Allah.

Yakinlah bahawa jika kita bersedia memberi kemaafan kepada seseorang nescaya orang juga bersedia memaafkan keterlanjuran kita. Marilah buang segala sifat mazmumah supaya perasaan dendam, sakit hati, benci dan marah dapat dijauhi.

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil dari hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sesukar manapun perkataan maaf hendak dilafazkan, berusahalah untuk menjadi pemaaf. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan. Wallahua’lam – sukaviral.net

Jadual Pembayaran Pencen ATM 2018

Kesian Abam Ditipu Pakej Umrah