in ,

Kalimah Allah Kini Boleh Digunakan Oleh Penganut Kristian

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, telah memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu bagi tujuan pendidikan dalam komuniti mereka.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrence Bill dari Sarawak. Beliau merupakan seorang wanita Sarawak keturunan Melanau.

Kalimah Allah dan 3 Yang Lain Dibenarkan

Selain kalimah Allah, perkataan lain yang dibenarkan adalah solat, Kaabah dan Baitullah.

Dalam penghakimannya, Nor Bee membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang terlindung mengikut Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Nor Bee berkata, arahan kerajaan yang dikeluarkan Bahagian Kawalan Penerbitan dalam Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5 Disember 1986 adalah salah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Tambah Nor Bee, pada 1986 Kabinet tidak mengenakan sekatan penuh terhadap keempat-empat perkataan itu, namun KDN melangkaui kuasanya.

Katanya, penggunaan kalimah Allah ketika itu boleh digunakan oleh gereja dengan syarat penerbitan itu hanya untuk orang Kristian.

Dalam kes ini, Nor Bee berkata pihak kementerian bertindak secara tidak rasional, menyalahi undang-undang dan tidak wajar.

Jill Ireland menyediakan afidavit dari tiga orang Islam yang menyatakan bahawa mereka tidak keliru dengan penggunaan perkataan itu oleh penganut Kristian, katanya lagi.

Katanya, sudah terbukti bahawa apabila orang Kristian menggunakan kalimah Allah untuk tujuan keagamaan, tidak timbul sebarang kekacauan kepada keselamatan awam.

“Di Sarawak dan Sabah hampir 400 tahun masyarakat Kristian menggunakan perkataan Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, menjelaskan penerbitan bahan atau buku keagamaan Kristian yang menggunakan 4 perkataan tersebut hendaklah berserta dengan penafian (disclaimer) pada kulit buku.

“Kena disertakan cop penafian ‘Hanya untuk penganut Kristian sahaja’ dan lambang salib,” katanya.

Difajamkan kes itu terpaksa ditangguhkan sebanyak 12 kali bagi mencari penyelesaian di luar mahkamah. Namun, kedua-dua pihak gagal menemui kata sepakat.

Jill Ireland selaku pemohon diwakili peguam Lim Heng Seng, Annou Xavier dan Tan Hooi Ping ketika prosiding itu. Shamsul Bolhassan pula bertindak bagi pihak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden.

Beliau telah memfailkan semakan kehakiman pada tahun 2008 untuk menuntut semula lapan cakera padat yang terkandung kalimah Allah dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland. Kesemua lapan cakera padat itu diperintahkan supaya dipulangkan, tetapi relif-relif lain yang dipohon tidak dibuat sebarang penghakiman.

sumber: berita harian online

Written by Admin

Saya orang biasa sahaja namun berminat dalam bidang penulisan. Hanya menulis jika ada kelapangan.

Rentas Negeri

Pasangan Jarak Jauh Boleh Rentas Negeri Mulai Hari Ini

polis rakam keterangan

Polis Rakam Keterangan Dakwaan Berlaku Potong Barisan Dalam Pemberian Vaksin