in

Perompak Mati Ditetak Mangsa

SEORANG perompak bersenjatakan pemutar skru maut ditetak mangsanya sendiri menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor, 2.45 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang oleh orang ramai yang memaklumkan seorang penghuni rumah di Jalan Jenawi 3, Taman Puteri Wangsa cedera di kepala akibat disamun dan bergelut dengan suspek.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi dan apabila tiba, polis dapati mangsa cedera parah di kepala dan pemeriksaan susulan membawa kepada penemuan seorang lelaki terbaring dan meninggal dunia di lorong belakang rumah mangsa.

Perompak Mati Ditetak
Rumah mangsa rompakan. @My Metro

Polis membawa mangsa untuk melihat mayat berkenaan dan mangsa mengecam lelaki itu serta mengatakan dialah suspek yang memasuki rumah, mengugut menggunakan pemutar skru dan bergelut dengannya.

Shahurinain memberitahu, hasil siasatan awal, mangsa berusia 32 tahun mendakwa rumahnya dipecah masuk oleh suspek lelaki berusia 32 tahun selepas lelaki itu mengumpil tingkap tandas bersebelahan dapur rumahnya itu

Menurut mangsa suspek memecahkan pintu bilik utama di mana dia berehat ketika itu dan mengugutnya menggunakan pemutar skru supaya menyerahkan semua barang berharga.

Suspek kemudiannya menggeledah bilik kedua dan ketiga di dalam rumah mangsa dan ketika itu, mangsa hanya menuruti arahan suspek kerana bimbangkan keselamatannya.

“Suspek kemudiannya memaksa mangsa membuka pintu dapur untuk melarikan diri dan ketika itu, mangsa berjaya mencapai sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 22 sentimeter sebelum mengarahkan suspek memulangkan semua barang yang dirompaknya itu.

“Suspek enggan memulangkannya sebelum berlaku pergelutan, mangsa luka di bahagian kiri kepala akibat dipukul menggunakan pemutar skru yang ditemui di tempat kejadian manakala suspek meninggal dunia dengan kesan luka di belakang kepala kiri dan kanan dipercayai akibat pisau pemotong sayur yang ditemui di tempat kejadian.

“Selain itu, suspek luka di belakang tangan kiri dari siku ke bawah dan ke atas serta parah di belakang kepala. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat manakala mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan,” kata Shahurinain lagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek yang berasal dari Kedah itu mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Katanya, dalam kejadian itu semua barang mangsa yang dicuri suspek iaitu dompet, wang tunai sebanyak RM730, cincin emas dan telefon bimbit Motorola ditemui semula di poket kiri seluar suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: My Metro

Pulihkan Mata Secara Semulajadi

Tip Memulihkan Penglihatan Secara Semulajadi Tanpa Kos Yang Tinggi

AinaGamzatova

Wanita Islam Tanding Jawatan Presiden Rusia Menentang Vladimir Putin