Petua-petua untuk menyembuh penyakit memang banyak diturunkan oleh nenek moyang kita. Cuma kita tidak mengambil berat akan petua-petua tersebut. Mungkin ada dikalangan kita beranggapan ianya tidak masuk akal, karut dan sebagainya. Hospital kan ada! Namun kita harus mengambil tahu tentang petua untuk rawatan cara islam kerana ianya sangat bermanfaat.
Di bawah sini disenaraikan petua-petua perubatan yang diperolehi daripada Almarhum Tuan Guru Dato Dr Haron Din. Orangnya sudah tiada meninggalkan kita, jadi simpanlah seeloknya petua ini. Mana tahu pada satu saat, kita sendiri yang memerlukannya.
Antara petua-petua tersebut adalah seperti yang disenaraikan di bawah ini:
1. Dipatuk Ular. Jika anda dipatuk ular, penawar ada pada ular tersebut. Asalkan ular tersebut dapat ditangkap. Caranya adalah dengan mengambil sisik terakhir ular (dihujung ekor) yang mematuk anda atau sesiapa sahaja dan makan sisik tersebut. Insyaallah ia akan jadi penawar kepada bisa ular tersebut. Janga lupa dapatkan rawatan dihospital jika tidak ada perubahan atau sukar mendapatkan sisik tersebut.

2. Disengat Ikan Keli atau Semilang. ikan keli atau semilang sedap dijadikan lauk. Namun sengatannya amat berbisa jika terkena pada kita. Penawar jika terkena sengatan ikan ini ada pada otaknya. Caranya adalah dengan mengetuk kepala ikan dan ambil bahagian yang kecik seperti gel. Seterusnya sapukan pada bahagian yang terkena sengatan.

3. Terkena Duri Kelapa Sawit. Orang yang pernah terkena duri sawit tahu betapa sakit dan bisanya duri ini. Harus diketahui bahawa penawarnya ada pada buah kelapa sawit. Caranya ialah ambil buahnya, dipecahkan dan ambil minyaknya. Jangan ambil menggunakan tangan tetapi menggunakan sabutnya. Kemudian sapu (dengan sabutnya) pada bahagian terkena duri sekali. Insyaallah akan hilang rasa sakit dan cepat sembuh.

4. Terkena Sihir Supaya Bercerai. Amat malang bagi suami isteri yang disihir sehingga mengkucar-kacirkan rumahtangga mereka. Kadang-kadang mereka bertengkar tanpa sebab yang munasabah. Jika anda merasa pelik atau merasa ada sesuatu perubahan pada pasangan anda, tolong amalkan membaca Surah Al-Baqarah Ayat 102 dengan niat untuk memulihkan jika terkena sihir. Insyaallah kehidupan kembali harmoni.

5. Resdung. Ambil tujuh botol air dari tujuh buah kolah masjid yang berlainan. Setiap satu masjid satu botol dan hendaklah masjid yang aktif. Letakkan air tersebut atas sejadah. Lakukan solat hajat minta untuk sembuhkan penyakit resdung.
Letakkan air pada tangan, baca Surah Al-Anbiya ayat 83. Sebelum masukkan air ke dalam hidung bacakan selawat syifa’. Masukkan air ke dalam hidung dan buangkan. Ulang sebanyak tujuh kali bersama bacaan seperti di atas.

6. Sakit Tumit dan Sendi (rheumatisme). Jika anda merasa kesakitan pada tumit dan sendi, sila dapatkan minyak zaitun. Kemudian baca surah Al-Fatihah dan Ayat Kursi dan sapukan minyak zaitun atau urut pada bahagian yang sakit sambil membaca doa dari Surah At-Taubah Ayat 14 dan Surah Al-Hasr Ayat 21. Insyaallah diberi kesembuhan.

7. Fibroid dan Masalah Melibatkan Penyakit Wanita. Fibroid bukanlah kanser tetapi ianya sejenis ketumbuhan. Penyakit ini sangat merbahaya. Selain fibroid banyak lagi penyakit yang melibatkan penyakit kaum wanita. Caranya ialah dengan mendapatkan madu asli, baca Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Surah An-Nahl Ayat 69. Makan satu sudu setiap hari. Insyaallah.

8. Angin Pasang. Penyakit angin pasang sebenarnya bukan sahaja menyerang kaum lelaki. Kaum wanita juga tidak terkecuali. Dengan menggunakan madu, bacakan Surah Al-Isra’ Ayat 82, Surah Al-Hasr Ayat 21 dan Surah Ash-Shua’ra’ Ayat 70. Minum satu sudu setiap hari, insya allah.

9. Darah Tinggi, Kencing Manis dan Masalah Jantung. Sesiapa yang menghadapi masalah penyakit tiga serangkai ini, sila amalkan meminum minuman ini. Caranya ialah dapatkan tiga batang serai dan diletakkan dalam buah kelapa (kelapa yang berhingus). Panaskan buah kelapa tersebut atas api. Jadikan serai sebagai sudu, ambik isi kelapa dan makan serta minum air kelapa setelah ia menjadi suam. Amalkan makan dan minum dari sebiji kelapa selang dua hari. Insya allah.

10. Susah Tidur Malam. Zaman sekarang ramai yang tidak tidur malam. Mungkin asyik bermain gajet atau bermedia sosial. Namun ada juga yang benar-benar mahu tidur tetapi tidak mahu lena. Jika anda sukar untuk tidur malam, sila amalkan membaca Surah Al-Kahfi Ayat 11. Insya allah. Anda akan dapat tidur selepas itu.

11. Angin Dalam Badan dan Sakit Sendi. Jika anda terkena angin dalam badan, tentu tidak merasa selesa. Kadang-kadang mahu berdiri tegakpun susah. Begitu juga jika sakit sendi. Mahu beribadat juga menjadi susah. Oleh itu cuba amalkan membaca Surah Fussilat Ayat 44.

12. Merawat Histeria. Genggam tangan kanan dan baca bismillah dan Masya Allah sebanyak tiga kali. Muncungkan mulut dan tiup dengan tiupan halus ke dalam penumbuk. Tepuk atas tulang belikat pesakit yang terkena histeria. Insya Allah.

Nota: Pagar diri dahulu sebelum mengubati orang lain. Baca Surah As-Saffat Ayat 7. Insyaallah.
Itulah serba sedikit yang dapat dikumpul dan disiarkan di sini. Semoga diberi kesembuhan. Kita hanya mampu berusaha, Allah yang menentukan sembuh atau tidak.