in ,

Resepi Gulai Batang Pisang Utara

Gulai Rias Pisang Utara

Tiba-tiba teringin nak makan gulai batang pisang atau rias pisang. Dengan kata lain adalah umbut pisang. Entah apa yang dimimpikan terasa nak makan sangat. Maklumlah setelah sekian lama merantau sejak lepas SPM dan sekarang bermastautin di Pantai Timur. Rasanya sudah melebihi 2 tahun rasanya tidak balik semasa cuti panjang ke kampung. Kalau balikpun hanya sehari dua dan pada masa itu pula tiada kenduri kahwin. Benda ni masa kenduri banyaklah di sebelah utara semenanjung.

umbut pisang
Pokok pisang bukan sekadar dimakan buahnya sahaja tetapi banyak kegunaan bahagian-bahagian yang lain.

Gulai batang pisang sangat terkenal di Daerah Baling dan Sik di Negeri Kedah. Ada juga orang panggil gulai kawah. Kalau kenduri kahwin tiada gulai keramat ini bermakna tidak lengkap. Oleh kerana teringin sangat terpaksalah masak dengan cara sendiri. Resepi ini boleh dicuba oleh sesiapa sahaja tanpa perlu minta. Kebetulan ada sikit skil untuk memasak. Jadi terus saja mencuba.

gulai umbut pisang
Berselera kalau orang Kedah tengok. Orang negeri lain cuba dulu.

Rias pisang yang digunakan diberi oleh seorang rakan sekerja. Terima kasih sebab sedia membantu saya. Biasanya orang-orang sebelah pantai timur ni tak makan benda ni. Hanya gajah yang suka kata mereka dengan nada bergurau. Tidak mengapa. Kalau gajah makan mentah, kita masak supaya ianya lebih istimewa.

Rias pisang
Umbut pisang yang telah dipotong sedia untuk dimasak.

RESEPI GULAI UMBUT PISANG

Hidangan untuk 5 orang makan

Bahan-bahan:

  • Umbut pisang – dipotong 1 atau 2 cm (boleh dicelur jika mahu).
  • Tulang lembu atau ayam (ikut suka)
  • Bawang merah dan putih – hiris nipis
  • Daun kari
  • Halba campur
  • 3 sekawan (jika mahu)
  • Garam kasar (garam kasar rasanya berlainan jika dibandingkan dengan garam halus)
  • Serbuk perasa (jika mahu)
  • Serbuk kari Baba’s
  • Serbuk kunyit
  • Santan (saya guna santan kotak)
  • Minyak masak

Cara Memasak (cara saya):

1. Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan putih hingga kekuningan

2. Masukkan daun kari, halba campur dan 3 sekawan. tumis hingga naik bau.

3. Masukkan serbuk kari yang dibancuh sedikit dengan air. Kacau hingga pecah minyak.

5. Masukkan air secukupnya. Masukkan umbut pisang dan tulang. Tulang admin rebus dahulu. Masak sehingga batang pisang lembut.

gulai rias pisang
Masak sehingga umbut pisang dan daging lembut

5. Masukkan serbuk kunyit jika mahu.

6. Apabila umbut pisang sudah lembut, masukkan garam dan serbuk perasa yang lain. Admin guna serbuk cukup rasa maggie.

7. Masukkan santan secukupnya dan angkat bila sudah masak. Siap untuk dihidangkan.

gulai batang pisang
Inilah rupanya gulai batang pisang yang telah siap.

TIPS: Rendam umbut pisang yang telah dipotong dengan air kunyit untuk mengelakkannya menjadi lebam atau hitam.

Sesiapa yang mahu cuba silakan. Orang utara yang memang tak pernah masak juga silakan. Selamat mencuba. Semoga bermanfaat – Suka Viral

Hasrat Mangsa Keldai Dadah Untuk Kembali Ke Malaysia Tidak Kesampaian

Pekerja Maut Dihempap Kren