Sekarang ini cuaca sangat panas dan tekak sentiasa haus. Dikala ini kita sentiasa inginkan sesuatu makanan atau minuman yang sejuk. Kadang-kadang kita nak juga rasa kelainan. Takkan asyik minum ais je kan.
Jadi apa kata anda buat pencuci mulut sendiri seperti agar-agar yang berasaskan buah. Buah pilihan kita adalah buah naga atau dragon fruit yang akan dibuat puding buah naga susu. Resepi puding buah naga yang dicampur susu ini mudah sahaja untuk disediakan dan sangat sedap.

Biasanya puding berasaskan buah-buahan sangat disukai oleh kanak-kanak dan juga kita lah orang dewasa. Apatah lagi buah buah naga pula mempunyai rasa yang sangat manis dan sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Puan Nurhayati Abd Malek menerusi laman facebooknya menggunakan buah isi merah.
Resepi Puding Buah Naga Susu Simple & Sedap
Seeloknya anda tahu dulu info penting yang disampaikan oleh Puan Nurhayati sebelum anda cuba membuat puding buah naga ini. Paling utama adalah cara bancuhan agar-agar bertali (lihat cara buat di belakang paket). Yang saya gunakan, meminta saya bancuh 1500 ml air. Jadi saya bahagikan dua 750 ml campur 750 ml susu cair. Cara masak puding buah naga susu adalah seperti di bawah.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Puding Buah Naga
1 biji buah naga (isi merah)
1 paket agar-agar bertali 20 gram
750 ml susu cair
750 ml air kosong
1 cawan gula kastor (boleh kurangkan)
Nota : Saya gunakan loyang bersaiz 7 inci untuk resepi ini.

Cara-Cara Membuat
Potong buah naga kecik-kecik. Cara potong terpulang kepada anda samada potong dadu, memanjang dana apa saja. Bila dah siap potong, ketepikan.

Masukkan agar-agar dan juga air ke dalam periuk. Buka api dan sesekali kacau sedikit hingga mendidih dan agar-agar tadi menjadi cair.

Apabila tali agar-agar telah cair keseluruhannya, masukkan pula susu cair. Kacau supaya tidak hangit. Masa ni api kena jaga.

Apabila sudah sebati masukkan gula ikut cita rasa anda. Walaupun saya tulis 1 cawan, namun anda boleh kurangkan. Anda rasa dulu, kalau kurang manis puding buah naga tu, tambahlah gula.

Kacau hingga gula sebati.

Masukkan buah naga yang telah siap dipotong.

Kacau lagi, supaya tidak berketul. Kemudian tutup api.

Masukkan ke dalam loyang dan biarkan sebentar sehingga sejuk, kemudian barulah dimasukkan ke dalam peti sejuk anda. Hampir siap dah dah puding buah naga susu.

Bila dan beku dan sejuk, keluarkan dari peti sejuk anda. Tentu anda tak sabar nak makan kan! Sedap dimakan sejuk-sejuk.

Beginilah keadaan puding buah naga bila sudah potong. Anak-anak dan Encik Abang pun dah ready. Mak dan telan dah 2 ke 3 ketul sambil-sambil potong.
Bila dan siap, baru kita tahu resepi puding buah naga susu yang dikongsikan oleh Puan Nurhayati Abd Malek ini sangat senang dibuat dan hasilnya juga sangat bagus dan menyelerakan dengan warnanya yang cantik menawan.

Anda juga boleh gunakan buah naga yang isinya berwarna putih dan rasanya mungkin agak berlainan. Mungkin..
Resepi Lain – Resepi Tepung Talam Gula Merah Sukatan Cawan
Untuk resepi puding buah naga susu ini, anda boleh juga menggantikan susu dengan santan kelapa. Bahan-bahan yang ingin anda buat atau olah adalah mengikut kreativiti anda sendiri. Anda boleh juga letakkan topping. Selamat mencuba.
Sumber: Media Maklumat