in , ,

Ruginya Kita Masuk Ke Dalam Masjid Kalau Kita Tinggalkan 3 Perkara

Rugi Masuk Ke Masjid Jika Meninggalkan 3 Perkara

Ramai dikalangan kita kerap pergi ke masjid terutamanya pada setiap hari Jumaat untuk bersolat Jumaat dan ketika Hariraya untuk menunaikan Solat Hariraya. Namun tidak semua dikalangan kita melaksanakan apa yang akan diceritakan dalam artikel ini.

Berpandukan petikan kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, kita bincangkan sedikit hal yang berkaitan dengan kerugian kita walaupun kita sering ke masjid. Terdapat 3 kerugian orang masuk atau datang ke masjid samada tanpa disedari atau memang disedari.

# Perkara yang menyebabkan kita rugi walau datang ke masjid adalah:

  • Tidak beri’tiqaf;
  • Tidak Menunaikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid; dan
  • Tidak solat di saf hadapan.

Mari kita bincangkan.

TIDAK BERI’TIKAF

i'tikaf hendaklah dimulakan dengan niat
Gambar Hiasan: Beri’tikaf

1. Kerugian yang pertama adalah tidak beri’tikaf sepanjang berada dalam masjid. Semasa mula-mula sampai di masjid kita lupa dan tidak berniat I’tikaf. Ini mungkin antara kelalaian kita sendiri. Antara kelebihan masjid adalah kita boleh berniat I’tikaf.

2. I’tikaf bermaksud duduk di masjid dalam rangka ibadah yang dilakukan oleh orang yang tertentu, dengan sifat atau cara yang tertentu dan pada waktu yang tertentu.

3. Dalil al-Quran:

وَلاَ تُـبَاشِرُوْهُنَّ وَأَنْـتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِد

“Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam mesjid”.(Al Baqarah : 187)

4. Faedah-faedah dalam beri’tikaf adalah seperti berikut:

  • I’tikaf merupakan cara Nabi SAW untuk mendapatkan malam Lailatulqadar pada bulan Ramadhan.
  • Orang yang melakukan i’tikaf mudah untuk melakukan solat fardhu berjemaah secara berterusan.
  • Orang yang beri’tikaf kebiasaannya beruntung kerana mereka berpeluang besar untuk mendapatkan saf pertama.
  • I’tikaf membiasakan jiwa kita suka duduk lama-lama di dalam masjid dan akhirnya hatinya mencintai masjid.
  • Ketika Ramadhan I’tikaf akan menjaga puasa seseorang daripada dosa. Ia menghindar mata dan telinga kita daripada terdedah kepada perkara yang diharamkan.
  • I’tikaf membiasakan kita bersederhana dalam hidup, zuhud dan tidak tamak terhadap dunia kerana dunia membuatkan ramai manusia tenggelam dalam kenikmatannya.

TIDAK SOLAT SUNAT TAHIYATUL MASJID

solat tahiyatul masjid
Solat Tahiyatul Masjid sebagai menghormati Rumah Allah.

1. Ini adala kerugian yang kedua bagi orang yang masuk ke masjid tetapi tidak menunaikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid. Sedangkan dia mempunyai masa yang mencukupi bagi melakukannya.

2. Nabi SAW dan para sahabat menggalakkan umatnya Solat Sunat Tahiyatul Masjid sebagai memuliakan rumah Allah sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

“Apabila salah seorang di antara kamu mendatangi/memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.” (HR Bukhari dan Muslim)

3. Ulama hadis terkemuka, Sufyan at-Tsauri telah menyatakan, antara perkara yang termasuk dalam pekara sia-sia ialah apabila seseorang itu masuk ke dalam masjid, kemudian dia keluar kembali dari masjid tanpa mengerjakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid.

4. Tujuan Solat Sunat Tahiyatul Masjid adalah:

  • Adalah sebagai cara untuk memuliakan masjid yang merupakan rumah Allah.
  • Memupuk sifat rendah diri dan beradab kita (umat islam) semasa berada di dalam masjid.
  • Menggalakkan kita sebagai umat Islam mendapat pahala berganda ketika di masjid.

TIDAK SOLAT DI SAF PERTAMA

solat jemaah, saf pertama
Solatlah di saf pertama kerana ganjarannya sangatlah besar.

1. Kerugian ketiga ialah mereka yang datang awal ke masjid tetapi tidak dapat solat di saf pertama. Samada tidak mahu berada di saf pertama atau memang suka berada di belakang sahaja. Sesetengah daripada kita, apabila sampai awal di masjid, sudah ada tempat duduk kesukaanya. Maka rugilah dia kerana menolak peluang yang Allah berikan padanya (tidak mengambil peluang).

2. Sebaiknya apabila kita sampai awal, pilihlah saf pertama. Islam menganjurkan penganutnya datang awal ke masjid. Nabi SAW berpesan agar dapatkan saf pertama dahulu. Apabila sudah penuh barulah ke saf kedua. Begitulah seterusnya.

3. Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

“Seandainya manusia mengetahui (kebaikan) apa yang terdapat pada panggilan solat dan saf pertama lalu mereka tidak dapat meraihnya melainkan dengan mengundi tentulah mereka akan mengundinya.

Seandainya mereka mengetahui apa yang terdapat dengan bersegera melaksanakan solat tentulah mereka akan berlumba untuk melakukannya.

Dan seandainya mereka mengetahui apa yang terdapat Solat Isya’ dan Subuh tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dengan cara merangkak”. (HR Bukhari)

Abdullah Al-Asiri
Di Arab Saudi, Abdullah Al-Asiri, 68, merangkak sejauh 3 km untuk menunaikan solat berjemaah di Masjid.

4. Seorang ahli hadis iaitu Bisyr Ibnu Hasan, daripada kalangan generasi salaf mendapat gelaran Ash-Shaffi kerana sentiasa berada di saf pertama di masjid Basrah selama 50 tahun (dalam Al-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rashid).

PENUTUP

Bersegera menuju ke masjid merupakan salah satu ciri dari semangat seorang muslim untuk melakukan ibadah. Jika waktu solat telah tiba, hendaklah kita bersegera menuju ke masjid kerana di dalamnya terdapat ganjaran yang amat besar.

Saya berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat semua, marilah sama-sama kita amalkan tiga perkara mudah ini. Kalau tak dapat lakukan setiap hari, tentu kita ke masjid ketika Solat Jumaat. Rebutlah peluang untuk membuat tiga perkara di atas sesungguhnya kelebihannya sangatlah besar buat kita.

VIDEO:

Sumber Lain: Shafiqolbu, Alkahfi dan islamic.utm 

^6 Lagi Sardin Mempunyai Cacing

Kementerian Kesihatan Sahkan 6 Lagi Produk Sardin Dalam Tin Mempunyai Cacing

10 Langkah Atasi Masalah Kolesterol Tinggi

10 Langkah Mengurangkan Kolesterol Dalam Darah