in ,

Ruginya Orang Yang Mempunyai Sifat Dendam

Dendam Menurut Islam

Agama islam merupakan agama yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang. Islam mengajar penganutnya agar sentiasa bertaqwa, sentiasa membantu dalam hal-hal kebaikan dan saling memaafkan antara satu sama lain sebagaimana sifat Allah iaitu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Sememangnya sifat manusia memang tidak sempurna sebagaimana tuhannya. Apatah lagi jika yang menyakitinya adalah orang yang dekat dengannya. Sifat marah dan dendam akan terpendam di dalam hatinya jika diperlakukan dengan perkara yang tidak boleh diterimanya sehingga hatinya terluka.

Dikala orang yang dianggap bersalah itu sudah berubah ke arah yang lebih baik dan diredhai Allah, haruskah kita terus menyimpan rasa dendam tanpa berkesudahan? Dendam adalah satu perasaan ingin membalas perbuatan orang yang menyakitinya samada dengan perbuatan yang sama atau jauh lebih menyakitkan. Dendam merupakan salah satu daripada penyakit hati.

Sifat pendendam merupakan sifat yang sangat merbahaya. Ia akan menimbulkan pelbagai masalah baru dan dosa yang tiada penghujungnya. Disudut Islam, DENDAM sangat dilarang dan dimurkai oleh Allah S.W.T. Alangkah ruginya jika kita mempunyai sifat ini dalam diri kita.

Dendam datang dengan berbagai sebab
Berpisah dengan pasangan juga boleh menyebabkan timbulnya perasaan dendam.

Kenapa Dendam Itu Merbahaya?

1. Tanda Imannya Sangat Lemah

Iman seseorang hanya Allah yang tahu. Tetapi harus diingat, ianya dapat terlihat oleh manusia lain (orang beriman) dari tingkah lakunya. Orang yang beriman akan mencontohi teladan Rasulullah dan mengikuti syariat Allah iaitu menjadi orang yang saling memaafkan agar tercipta kedamaian sesama mereka. Pendendam merupakan orang yang memiliki iman yang lemah.

Oleh kerana iman yang lemah, ianya berterusan mengharapkan serta mendoakan seterunya supaya mendapat keburukan dan musibah oleh Allah. Mereka lupa bahawa Allah tidak bersama mereka tetapi mungkin syaitan sahaja yang terus-menerus mendampingi mereka.

2. Rahmat Allah Tidak Mendekatinya

Kita sebagai hamba Allah tidak perlu menyimpan dendam kerana Allah sudah menjamin akan balasan dari tiap perbuatan umatNya jika orang yang didendam itu memang membuat salah. Berdendam bermakna tidak percaya pada rahmat Allah dan ianya termasuk dalam golongan 0rang-orang yang zalim. Menjauhi dendam adalah termasuk dalam Kaedah Menjaga Hati Dalam Islam sehingga anda dekat dengan rahmat Allah.

Firman Allah:

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang serupa. Barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas tanggungan Allah. Dan Allah tidak menyukai orang orang yang berbuat zalim” (QS Asy Syura : 40).

3. Dibenci Oleh Allah

Dendam sangat merbahaya. Dendam adalah salah satu sifat yang paling dibenci oleh Allah. Dendam boleh menjauhkan orang yang melakukannya dari redha Allah. Dendam bukanlah cara yang baik menurut islam.

“Orang yang paling dibenci oleh Allah adalah orang yang mempunyai sifat dendam” (HR Bukhari).

Pendendam dibenci oleh Allah kerana di dalam hatinya hanya berfikir tentang keburukan. Seorang yang berdendam hanya mahukan orang yang pernah berbuat salah kepadanya mendapatkan balasan yang setimpal atau jauh lebih berat.

Ia menunjukkan bahawa orang tersebut sangat tidak beriman pada hari akhirat sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah bahawa semua hambanya akan diadili di akhirat kelak. Sesiapa yang pernah teraniaya, jika tidak berdendam dan tidak membalasnya maka Allah akan membalasnya di akhirat kelak.

Mermuhasabah diri adalah lebih baik
Seeloknya kita bermuhasabah diri kita bagi merungkai sesuatu kejadian yang menyakitkan hati kita

4. Nafsu Amarahnya Akan Berlebihan

Akibat dari dendam ialah kemarahan yang tidak pernah padam akibat dari hawa nafsu. Dendam hanya mampu dihapuskan jika ada sedikit keimanan dan rasa takut kepada Allah. Marah yang melampau tidak dianjurkan oleh islam.

Rasulullah SAW sendiri tidak pernah berdendam dengan orang yang memusuhinya atau menyakitinya bahkan mendoakan orang tersebut agar lebih baik dan mendapat keredhaan serta hidayah Allah. Dendam bukanlah caranya melainkan dibalas dengan kebaikan.

5. Menjauhkan Dirinya Dari Kasih Sayang Allah

“Sayangilah makhluk maka kamu akan disayangi Allah”. (Shahih Al Adab Al Mufrad).

Jelas dari hadis tersebut menerangkan bahawa Allah akan menyayangi hambaNya yang juga memiliki kasih sayang sesama mereka. Sebagaimana Allah pernah berfirman bahawa berbuat baik bukan hanya berhubungan dengan Allah semata-mata, bahkan kepada sesama manusia. Bagaimana kita memperlakukan sesama manusia, seperti itu juga perlakuan yang akan kita terima dari Allah dan manusia lainnya.

6. Tidak Mendapat Keredhaan Allah

Pendendam tidak di redhai oleh Allah kerana ia sendiri tidak memiliki kebaikan di dalamnya, tidak memaafkan, tidak berbuat baik dan tidak mendoakan kebaikan untuk orang lain.

Firman Allah:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”. (QS Ali Imran : 134).

7. Dosanya Tidak Diampunkan

Ingatlah bahawa Allah tidak akan mengampuni dosa orang yang menyimpan dendam kerana di dalam hatinya juga tidak ada perasaan untuk memaafkan orang lain.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ ۚ وَإِنْ تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: “Hai orang-orang mukmin, Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu Maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka; dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (QS At Taghabun : 14).

BACA JUGA: Pemaaf Merupakan Sifat Orang Mukmin

8. Menyebabkan Silaturrahim Terputus

Dendam menyebabkan hubungan menjadi semakin jauh, renggang dan akhirnya terputus. Dendam menyebabkan bertambah api dendam yang lain. Pendendam akan membuat keburukan tanpa henti sehingga hatinya puas walaupun dia sering menyebut perkataan Allah dan sebagainya. Itu semua hanya sebutan di mulut tetapi bukan di hati. Dari Jubair bin Muth‘im Radiyallahu anhu ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan masuk surga orang yang memutus silaturahim.” (Muttafaqun ‘alaih).

Lebih buruk lagi jika kedua pihak sama-sama menyimpan dendam, kedua-duanya terus berdosa dan dimurkai Alah kerana mereka akan terus meminta hal yang buruk berlaku kepada seteru mereka. Sesungguhnya Azab Allah menanti mereka yang berdendam jika mereka mati dalam keadaan yang demikian. Disebabkan ini juga hubungan terputus sedangkan hukum Allah melarang memutuskan silaturrahim.

Salam Kemaafan
Hulurkan tangan rungkaikan segala sengketa yang tiada manfaatnya.

9. Menimbulkan Api Permusuhan Berpanjangan

Kejahatan jika dibalas dengan kebaikan akan selesai. Harus diingatkan bahawa jika seseorang itu membuat kejahatan yang berulang, maka satu masa Allah akan menunjukkan kebenarannya dan orang yang memaafkan akan mendapat pahala kebaikan serta berada dalam darjat tertentu di sisi Allah berbeza dengan pendendam kerana biasanya mereka ini akan berkesudahan dalam keadaan yang menyedihkan.

Firman Allah:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: “Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan yang jahat. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba antara kamu dan dia ada permusuhan jadikan seolah-olah ia adalah teman yang sangat setia”.(Qs: Fushilat : 34).

Jika keduanya berdendam tanpa henti, api permusuhan berterusan dan dosa terus mengalir diantara keduanya. Perbuatan tersebut akan menyebabkan keduanya jauh dari kedamaian dan rahmat Allah.

10. Tidak Memperolehi Ketengangan

Orang yang berdendam tidak memiliki hati yang tenang. Amal ibadahnya juga tidak sempurna, solatnya yang merupakan tiang agama sering ditinggalkan. Semuanya kerana memiliki hati yang tidak bersih.

Orang yang berdendam akan berfikiran bahawa kesusahannya adalah kerana orang yang pernah menyusahkannya dahulu tanpa memikirkan itu adalah kehendak Allah dan ianya juga ujian daripada Allah. Sesungguhnya Allah sedang mengujinya dan dia tidak redha. Kita mahukan keredhaan Allah tetapi kita sendiri tidak redha dengan ketentuan Allah.

11. Akan Timbul Iri Hati dan Hasad Dengki

Pendendam agak sukar atau tidak suka orang lain (terutama yang didendam dan keluarganya) berbahagia. Dikala orang yang pernah berbuat salah terhadapnya diberi rezeki dan kebahagiaan oleh Allah, mereka akan merasa iri hati dan dengki dan berusaha untuk mengambil atau menghilangkan kebahagiaan tersebut dengan cara yang bertentangan dengan syariat islam.

Rasa iri hati dan hasad dengki tersebut akan menimbulkan dosa yang lebih besar bahkan membawa kepada syirik. Ada manusia yang sanggup menggunakan ilmu hitam (sihir) semata-mata kerana dendam.

Dendam boleh mengundang perbuatan yang lebih jahat
Akibat dendam, manusia sanggup berbuat apa saja asalkan hati mereka puas.

12. Tidak Menerima Kudrat Ilahi

Tidak ada manusia yang sempurna dan tidak berbuat salah. Orang yang memiliki sifat dendam biasanya tidak memahami dan tidak boleh menerima bahawa manusia itu lemah dan sentiasa berbuat salah dalam sesuatu perkara.

Jika Allah sentiasa membuka pintu taubat dan sentiasa mengampuni hambaNya, kenapa manusia tidak berbuat demikian. Menusia tidak berhak untuk menghakimi atau menyimpan dendam pada orang lain. Ini kerana semua bentuk balasan atas amal perbuatan di dunia adalah hak Allah.

13. Timbulnya Penyakit Hati

Dendam memudahkan timbulnya penyakit hati kerana dendam sentiasa menguasai fikiran dan hati manusia. Dendam akan menjauhkan orang yang melakukannya dari berbuat baik kerana orang yang berdendam akan sentiasa berprasangka buruk dan memandang remeh orang yang didendaminya dan disebarkan dengan berbagai lagi tuduhan sesedap hatinya. Inilah yang dikatakan penyakit hati.

14. Hampir dengan Kesombongan

Setiap manusia pernah berbuat salah dan menyakiti orang lain, sebaiknya kita harus sentiasa muhasabah diri, bahkan belum tentu kita lebih baik dari orang yang berbuat salah itu. Ada kemungkinan juga kita sendiri pernah berbuat salah pada orang lain melebihi salah yang dilakukan oleh orang tersebut pada kita. Tetapi kita sendiri berpura-pura seolah-olah orang itu lebih jahat daripada kita.

“Perbaikilah diri anda sebelum anda dihisab dan berhiaslah (dengan amal kebaikan)” (HR Tirmidzi).

Orang yang memiliki dendam sebenarnya tidak pernah cuba untuk muhasabah diri dan selalu menganggap dirinya yang paling benar. Tidak bermuhasabah diri adalah tergolong sebagai orang yang sombong. Kesombongan adalah perbuatan yang tidak disukai oleh Allah.

Seeloknya kita memperkemaskan diri kita dengan ibadah kepada Allah
Perbaikilah diri kita sebelum kita di hisab.

15. Kesukaran Mendapat Kawan / Kawan Menjauhinya

Pendendam sukar untuk mendapat kawan atau kawan yang sedia ada mula menjauhi. Orang yang berdendam biasanya akan mula dijauhi oleh kawan-kawan atau saudara mara jika mereka mula menyedari ianya bersifat sedemikian dan telah melakukan hal yang tidak baik kepada seterusnya. Mereka boleh menilai melalui tutur katanya dan tingkah lakunya.

Mereka mula menjauhi kerana khuatir jika mereka sendiri tersalah langkah atau berbuat salah samada secara sengaja atau tidak mungkin sukar untuk berdamai dan mungkin akan mendapat masalah baru. Inilah sebabnya pendendam mula dijauhi oleh orang-orang di sekitarnya.

16. Sukar Menerima Nasihat Yang Baik

Pendendam biasanya sukar untuk menerima nasihat daripada orang lain. Apabila diberi nasihat, beliau akan memesongkan fakta atau mengatakan sebaliknya. Kononnya siapa kamu untuk menasihati aku, kamu sendiri juga tidak betul. Walaupun perkara yang dinasihati itu adalah perkara yang betul.

17. Mudah Menerima Nasihat Yang Tidak Baik

Pendedam biasanya mudah menerima cadangan atau nasihat yang tidak baik. Sebagai contoh, nasihat oleh mereka yang mahukan beliau membalasnya dengan apa cara sekalipun termasuk menggunakan khidmat bomoh bagi menyakiti orang yang didedaminya. Perkara ini sangat dilarang oleh Allah dan banyak berlaku dalam masyarakat kita.

Penutup

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda semua. Perbaikilah diri kita, jangan menyimpan dendam sesungguhnya Allah sedang menguji kita. Selagi kita berdendam selagi itulah kita sentiasa di dalam kesulitan dan sukar untuk mendapat kesenangan. Rezeki juga sangat sukar untuk mendekati kita. Selain kehidupan yang porak poranda.

Cubalah bermaaf-maafan dengan hati yang ikhlas mudah-mudahan Allah juga memaafkan kita dan memberi rahmatnya kepada kita. Yang penting sila Muhasabah diri kita. Pendendamkah kita? Jika kita pendendam, benarkah kita sedang melalui 17 perkara di atas.

ika ada salah satu daripadanya, mohonlah keampunan Allah dan maafkan orang yang kita dendam dan benci itu kerana tanpa kita sedari kita juga ada membuat kesilapan. Wallahua’lam. – sukaviral.net

Pattani Mosque

Ramadhan Time For Pattani, Thailand

Jadual Pembayaran Pencen ATM 2018