in , ,

Lagi Sardin Berulat Dikesan

Dua Kontena berisi sardin dalam tin telah ditahan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, kerana mengandungi cacing. Sardin dalam tin jenama RANESA itu dibawa masuk dari China melalui Pintu Masuk North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang.

Sardin Berulat Dikesan
Ulat Yang Dikesan

Kesemua sardin yang ditahan itu dengan anggaran berat 36,720 kilogram dan bernilai RM199,797.24.00.

Hasil pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa sampel tin sardin itu telah membawa kepada penemuan bendasing iaitu cacing.

Cacing tersebut kemungkinan daripada Genus Anisakis spp yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis pada manusia. Anisakiasis merupakan sejenis penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal (seperti perut dan usus) manusia dan boleh menyebabkan masalah seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah (simptom gastrointestinal).

Sardin Berulat Bahaya
Sardin memang sedap jika pandai menyediakannya

Penyakit ini biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit Anisakis spp.

Menurut kenyataan pihak MAQIS, perbuatan mengimport melalui pintu masuk apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. Kes ini disiasat untuk tindakan selanjutnya.

Sebarang pengimportan ikan sardin perlu mendapatkan permit import dari Maqis.

“Walaupun permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya kenyataan MAQIS.

Pihak MAQIS akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu seperti ini tidak akan berulang.

“Perkara ini amat penting bagi memastikan sebarang produk ikan seperti ikan sardin yang diimport ke negara kita sentiasa selamat, bersih dan tidak cemar dengan bendasing seperti cacing,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, pada 20 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan dua produk sardin dalam tin dari China, Canned Sardines in Tomato Sauce jenama TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sauce jenama TLC, ditarik balik daripada pasaran kerana mengandungi cacing.

Tindakan juga diambil terhadap syarikat pengimport produk itu tidak mematuhi Akta Makanan 1983 selain produk berkenaan ditarik balik berikutan mengandungi cacing nematoda daripada Genus Anisakis spp.

Peringatan untuk diri sendiri: Belilah sardin tempatan walau harganya agak mahal.

Sumber: Sinar Harian

Telur dan Khasiatnya

Telur – Yang Mana Lebih Berkhasiat

Live Streaming FIFA World Cup 2018

Live Streaming Tanpa Buffering