in

Cara Mengerjakan Solat Sunat Istikharah dan Tujuannya

Solat Sunat Istikharah

Tujuan utama melakukan Solat Sunat Istikharah adalah untuk meminta petunjuk daripada Allah SWT. Sebagai Muslim, jika anda berkehendakkan sesuatu namun berada dalam dilema untuk menentukan pilihan itu sama ada benar dan tepat, atau merasa ragu-ragu, seeloknya anda melakukan solat ini.

Semoga dengan melakukan solat sunat istikharah, perkara yang anda hajati itu akan diberi petunjuk oleh Allah SWT samada ianya membawa kepada kebaikan atau keburukan jika anda memilihnya. Solat Sunat Istikharah dipraktikkan oleh sebahagian besar masyarakat Muslim.

tujuan solat istikharah
Antara tujuan Solat Istikharah adalah dalam bab memilih jodoh

HUKUM SOLAT SUNAT ISTIKHARAH

Pada dasarnya mengerjakan Solat Istikharah ini adalah sunat mu’akkad bagi yang mempunyai hajat kepada petunjuk itu. Nabi SAW menggalakkan solat ini sesuai dengan sabda baginda yang bermaksud:

“Tidak akan kecewa orang yang melaksanakan solat istikharah, dan tidak akan menyesal hati orang yang suka bermusyawarah dan tidak akan berkurangan lagi orang yang suka berhemat”.

Menurut hadith daripada Jabir bin A’bdillah r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah ajarkan Solat Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda mengajar kami surah-surah dari Al-Quran. Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa”

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

Hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya – Kitab Al-Jumu’ah, no: 1162).

petunjuk solat istikharah
Solat Istikharah mesti beserta dengan hajatnya

WAKTU MENGERJAKAN SOLAT SUNAT ISTIKHARAH

Waktu yang terbaik bagi anda untuk mengerjakan solat ini adalah pada dua per tiga malam terakhir sepertimana waktu melakukan Solat Tahajjud dan dilakukan sekurang-kurangnya 2 raka’at. Lakukan dengan penuh khusyuk dan tawadduk agar hajat kita diperkenankan oleh Allah SWT .

Sesudah selesai mengerjakan solat dengan sempurna, teruskan berdoa dengan Doa Istikharah. Selesai sahaja berdoa hendaklah memilih dalam hati yang mana lebih cenderung dalam hati diantara kedua perkara yang dihajati.

Artikel Lain – Cara Mengerjakan Solat Tahajjud dan Kelebihannya

NIAT SOLAT SUNAT ISTIKHARAH

“USOLLI SUNNATA ISTIKHOOROTI RAK’ATAINI LILLAAHI TA’ALA

“Sahaja aku menunaikan Solat Sunat Istikharah dua raka’at kerana Allah Taala”

waktu dilarang solat istikharah
Mengerjakan solat Istikharah tidak susah dan tidak dihadkan berapa kali untuk anda melakukannya.

CARA MENGERJAKAN SOLAT SUNAT ISTIKHARAH

Cara mengerjakan solat ini adalah tidak jauh bezanya dengan mengerjakan solat-solat sunat yang lain. Sewaktu sujud yang terakhir ketika solat, minta dalam hati kepada Allah tanpa perlu berkata-kata zahir tentang perkara yang dihajati.

Ini bermakna sujud terakhir itu mungkin agak panjang berbanding ketika anda mengerjakan solat sunat yang lain. Selesai memberi salam, berdoa lah dengan Doa Istikharah dan semasa berdoa ini, lafaz lah secara zahir hajat anda.

SURAH YANG HARUS DIBACA

Kitab Iaanatut Talibin : 257 ada dinyatakan, “Barangsiapa yang mempunyai hasrat akan sesuatu dan ia bimbang akan akibatnya, dan tidak mengetahui bagaimana gambaran apabila ditinggalkannya maksud itu, maka dinyatakan bahawa Nabi SAW telah memerintahkan agar solat dua raka’at.

Pada raka’at pertama selepas membaca Surah al-Fatihah hendaklah dibaca Surah al-Kafirun. Manakala pada raka’at kedua selepas membaca Surah al-Fatihah hendaklah dibaca Surah al-Ikhlas. Selepas solat pula dibaca doa. (HR Jabir bin Abdullah)

panduan solat istikharah
Yakinlah bahawa setiap permintaan anda akan dikabulkan oleh Allah swt

PERINGATAN

Sebelum mengerjakan solat, sila pastikan bahawa anda bebas dari perkara-perkara yang membatalkan solat. Pakailah pakaian yang suci dan bersih dan paling utama jangan lupa berwudhu’.

Selesai solat, baca lah doa seperti di bawah.

Artikel Lain – Doa Selepas Solat fardhu

DOA

Berikut adalah Doa Istikharah yang perlu dibaca selepas mengerjakan Solat Sunat Istikharah. Doa di bawah adalah isinya, maka anda haruslah membacanya mengikut tatacara membaca doa. Dimulai dengan Bismillah dan ikutilah tatacara membaca doa.

Istikharah
Doa Istikharah

Maksudnya:

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib.

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku.

Kemudian, berikan keberkatan kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku ( atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang), maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.

doa solat istikharah
Berdoa hendaklah mengikut adab atau tatacaranya

ADAB KETIKA BERDOA

Semasa membaca doa, hendaklah mengikut tatacara atau adab berdoa agar doa kita atau apa yang kita pohon dikabulkan oleh Allah SWT. Antara perkara-perkara yang perlu dipehatikan adalah seperti berikut.

Berdoa Dengan Rendah Diri 

Sampaikan doa kita kepada Allah dalam keadaan yang sangat rendah diri dengan suara yang lemah lembut. Firman Allah dalam Surah Al-A’raf : 55 yang bermaksud:

“Bedoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”.

Yakin Doanya Akan Dikabul

Hendaklah yakin bahawa doa itu akan kabulkan. Ini kerana, untuk berdoa memerlukan keyakinan dan mesti datangnya dari hati bahawa Tuhan itu akan membantu hambanya. Melainkan jika seseorang itu adalah lalai dan hatinya kosong daripada mengingati Allah.

Berdoalah dengan rendah diri dan suara yang lemah lembut

Memuji-Muji Allah dan Selawat Ke Atas Nabi SAW

Setiap kali membaca doa, mulai dengan puji-pujian kepada Allah dan membaca selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Apabila salah seorang daripada kamu sekalian berdoa, maka mulailah dengan membaca Tahmid serta memuji Allah SWT, kemudiannya membaca selawat ke atas Nabi, baru kemudian kamu berdoa dengan apa yang kamu kehendaki”.

Berselawat Di Tengah Dan Akhir Doa

Ketika dipertengahan dan akhir doa, bacalah selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sepertimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Setiap doa terhalang (tidak dikabulkan) sehingga dibaca atas selawat kepada Nab Muhammad SAW”.

Membaca Amiin

Walaupun berdoa secara sendirian, akhirilah doa dengan membaca Amiin! Menurut sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila salah seorang daripada kamu berdoa, maka aminkanlah atas doanya sendiri”.

Tadah tangan ketika berdoa dan berkata Amiin

Menadah Tangan Ketika Berdoa

Angkatlah kedua tangan ketika berdoa sepertimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Hidup, Maha Pemurah dan berasa malu kepada hambanya. Apabila dia mengangkat kedua tangannya berdoa kepadaNya, kemudian Allah mengembalikannya (menolak doanya) tanpa hasil”.

Menyapu Wajah

Selepas berdoa, sapulah wajah anda dengan kedua tapak tangan. Sahabat Umar r.a berkata:

“Rasulullah SAW apabila mengangkat kedua tangannya dalam berdoa, tidak akan melepaskan dan mengembalikannya sehingga menyapu wajahnya dengan kedua tangannya”.

Tadah dan Telungkup Tapak Tangan Mengikut Situasi

Ketika berdoa, kedua tapak tangan ditadahkan jika memohon perkara positif manakala ditelungkupkan jika memohon untuk menolak perkara negatif.

Nabi SAW apabila memohon perkara positif, akan mendahkan kedua tangannya ke langit. Manakala jika memohon perlindungan dari perkara negatif akan telungkupkan kedua tapak tangan daripada langit (ke bawah).

Artikel Lain – 10 Doa Mustajab Yang Perlu Dibaca Selepas Tahiyyat Akhir

PENUTUP

Semoga artikel berkaitan solat sunat istikharah ini sedikit sebanyak membantu kepada mereka yang memerlukan. Diharapkan ianya memberi manfaat kepada semua. Jika anda mendapati masih banyak kelemahan dan perlu ditambahbaik, sila maklumkan kepada admin. Wallahua’lam.

Sumber:

Written by Admin Suka Viral

Saya lelaki biasa yang ada perlindungan takaful dan insurans. Suka travel seperti orang lain. Pernah naik flight untuk travel seperti Air Asia, Malindo, Malaysia Airlines, Fire Fly, Scoot, Singapore Airlines, Qantas, Thai Airways, British dan sebagainya. Makan juga nasi, KFC, Mc Donalds, Burger Kings. Minat forex tapi tak pandai. Sikit duit dalam simpanan akaun di Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Bank dan AmBank. Membeli belah dengan kemudahan AEON Cards.

Polis Bantu Pencur1 Roti Gardenia

Kisah Polis Membantu Pencur1 Roti Gardenia Yang Tular

Tanda-Tanda (Simptom) Terkena Sihir Pemisah Suami Isteri