Wanita mementingkan kecantikan

Suntikan Vitamin C Bahaya dan Tidak Dibenarkan Oleh KKM

Umum mengetahui, kebanyakan wanita ingin mempunyai kulit yang cantik dan putih. Bagi mereka, hanya berkulit putih sahaja akan dianggap kelihatan cantik dan menarik. Salah satu cara singkat untuk mendapatkan kulit yang cantik dan putih ialah dengan jalan pintas iaitu dengan menyuntik vitamin C.

Wanita sukakan kecantikan
Berwajah cantik adalah idaman setiap wanita

Tahukah anda bahawa suntikan vitamin C dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

KKM melarang kerana ia boleh mendatangkan banyak kemudaratan daripada kebaikan. Antaranya ialah jangkitan pada kulit dan salur darah serta boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang. Banyak klinik, spa dan pusat kecantikan yang menawarkan perkhidmatan suntikan vitamin C ini.

Tanpa berfikir panjang kebanyakan wanita yang berkemampuan terus mendapatkan suntikan tersebut walaupun kosnya sangat tinggi bagi sekali suntikan. Difahamkan ada yang mencecah RM1000 bagi sekali suntikan.

TIADA suntikan Vitamin C yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh itu jika ada pengamal perubatan yang memberikan suntikan Vitamin C, ini bermaksud mereka tidak beretika dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan risiko yang akan dihadapi oleh orang yang disuntik.

PETIKAN DARI ARTIKEL YANG DISEDIAKAN OLEH BAHAGIAN FARMASI KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil berat dan mengawal penjualan produk kosmetik di Malaysia. Selaras dengan ‘Asean Harmonization’, pendaftaran produk kosmetik dibatalkan dan digantikan dengan prosedur notifikasi pada Tahun 2008.

Pihak pengeluar wajib menotifikasikan produk kosmetik keluaran mereka dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan kualiti produk berkenaan. Produk kosmetik yang dinotifikasi akan diberi nombor notifikasi (contoh NOT20091234K) tetapi nombor notifikasi ini tidak diwajibkan untuk dicetak pada bungkusan produk.

Orang awam perlu tahu bahawa pengeluar produk kosmetik tidak boleh membuat tuntutan perubatan pada label dan iklan produk. Produk kosmetik juga tidak dibenarkan mengandungi bahan racun seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.

Hasil pemantauan kami mendapati ada produk kosmetik seperti produk pencerah dan pemutih kulit dikesan mengandungi bahan terlarang dan juga suntikan botoks serta suntikan vitamin C dijual secara haram di premis kecantikan. Beberapa produk pencerah dan pemutih kulit dikesan dicampur dengan hidrokuinon dan tretinoin iaitu sejenis bahan racun dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.

Baca: Bahaya hidrokuinon

Kesan pencerahan kulit dalam masa yang terlalu singkat mungkin petunjuk bahawa bahan berbahaya itu wujud di dalam produk kosmetik tersebut. Botoks adalah sejenis toksin yang dihasilkan bakteria clostridium botulinum yang berbahaya jika digunakan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar.

Dalam bidang perubatan, suntikan dos kecil botoks digunakan untuk melumpuhkan otot yang tegang dan pengecutan otot yang tidak terkawal pada pesakit. Penggunaan tanpa pengawasan pengamal perubatan boleh menjejaskan sistem saraf dan boleh menyebabkan kematian.

suntikan vitamin c
Antara jenis-jenis vitamin C di pasaran

Vitamin C atau asid askorbik adalah antioksidan yang berfungsi melindungi tubuh daripada tindakan pengoksidaan dan penting dalam proses penyembuhan luka. Bagaimanapun, suntikan vitamin C adalah sediaan yang tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia. Setakat ini tiada produk vitamin C yang didaftarkan di Malaysia.

Pengguna yang mendapatkan perkhidmatan suntikan vitamin C yang tidak berdaftar ini terdedah kepada risiko kemudaratan kepada wajah dan tubuh badan seperti jangkitan pada kulit, jangkitan pada salur darah selain kerosakan buah pinggang.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli produk kosmetik dan mendapatkan rawatan kecantikan. Dapatkan rawatan kecantikan di premis yang diyakini dan baca label pada produk terlebih dulu sebelum membuat pembelian.

Usah terpedaya dengan produk kosmetik atau pusat rawatan kecantikan yang menawarkan produk atau perkhidmatan yang mempunyai tuntutan melampau. Kandungan bahan racun ini biasanya tidak diisytiharkan pada label atau bungkusan produk untuk mengelirukan pengguna.

Pengguna dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan rawatan kosmetik yang diwar-waarkan mampu mengubah rupa paras mereka kepada lebih cantik dalam masa singkat. Ini kerana produk kosmetik biasanya memerlukan masa untuk menunjukkan kesan.

Tonton Video

Sumber: fb KKM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *