in ,

Teratak Toksu, RM80 Semalam Dengan 7 Aktiviti Menarik

7 Aktiviti Menarik di Teratak Toksu

Anda pernah dengar Teratak Toksu yang menarik ini? Ia merupakan sebuah Inap Desa yang terletak di Utara Semenanjung. Ianya sangat sesuai untuk anda bercuti bersama keluarga bagi meninggalkan hingar-bingar di bandar.

Suasana bingit dengan bunyi bising kenderaan dan kesesakan lalu lintas di bandar atau ibu kota sudah tentu membuatkan kita jadi serabut. Cara terbaik untuk mencari ketenangan adalah bercuti ke kawasan yang jauh dari bunyi bising.

TERATAK TOKSU

Inap desa
Sesekali bercuti bawa anak-anak tentu mereka suka

Di Teratak Toksu anda akan memperolehi pengalaman yang jarang-jarang dilihat dengan panorama indah sawah terbentang luas sambil menghirup udara segar yang datang dari angin yang sepoi-sepoi bahasa.

Suasana kampung yang sudah lama anda tinggalkan akan kembali menemani anda dan ianya lebih bermakna jika percutian anda turut disertai anak-anak yang dilahirkan pada era moden agar dapat merasai suasana yang asing bagi mereka.

LOKASI TERATAK TOKSU

Jika anda memilih untuk ke Utara, tidak rugi jika anda singgah di Teratak Toksu. Ia merupakan sebuah Inap Desa yang terletak di tengah-tengah sawah padi yang terbentang luas. Lokasinya adalah di Simpang Empat Gunung Semanggol, daerah Kerian, Perak. Ianya tidak jauh dari Parit Buntar dan Bagan Serai.

Teratak Tok su
Pandangan menghijau yang menyegarkan.

Sesuai dengan temanya, ‘TERATAK DI ATAS BENDANG’ sudah semestinya akan memberikan ketenangan oleh alam semula jadi yang dikelilingi sawah padi. Bahkan sesekali ianya diserikan dengan bangau dan pipit yang berterbangan yang dapat menjadi terapi mata dan menyegarkan jiwa.

Teratak Toksu dimiliki oleh Ahmad Zabidi Tusin, 49, yang juga sebagai pengurus rumah inap desa ini. Terataknya sebanyak tiga unit dan dibinia atas tanah sawah milik kelurganya dan mula beroperasi sejak awal Januari lalu.

Pembinaannya mengetengahkan ciri tradisional melalui hiasan serta dekorasi teratak serta mengekalkan konsep rumah kayu moden. 50 peratus bahan binaannya daripada kayu manakala 50 peratus lagi daripada simen board.

Anda seakan-akan tidak percaya apabila melangkah masuk ke ruangan kamar yang mana rekaannya berkonsepkan moden dengan ruang yang selesa. Bilik mandinya pula luas serta lengkap. Boleh dikatakan ianya lengkap dengan pelbagai kemudahan disediakan seperti penghawa dingin, kipas dan tilam empuk.

Salah satu bilik di Teratak Toksu

“Walaupun luaran teratak ini kelihatan biasa, namun ia menjanjikan keselesaan kepada pengunjung akan kemudahan seperti penghawa dingin, televisyen, seterika dan sebagainya. Senang cerita ibarat anda berada di hotel tiga bintanglah,” kata Zabidi.

AKTIVITI MENARIK

Antara keistimewaan lain jika anda bercuti di sini ialah anda akan dapat merasai pelbagai aktiviti seperti memancing di tali air dan berbasikal mengelilingi kampung.

“Kami juga menyediakan aktiviti berbasikal kepada pengunjung untuk bersiar-siar mengelilingi kampung, memancing di kawasan bendang, mini pet zoo dan aktiviti memanah bagi kanak-kanak untuk merasai sendiri suasana kampung serta melihat aktiviti masyarakat setempat secara lebih dekat,” kata Zabidi.

bendang
Zabidi bersama dengan pelancung yang menginap di terataknya

Jika anda memilih untuk bercuti di Teratak Toksu, dengan bermodalkan RM80 semalam, anda akan dapat menikmati tujuh perkara ini.

1. Berbasikal Keliling Kampung

Anda juga disediakan basikal untuk anda mengelilingi kampung sambil menghirup udara segar dan sedikit sebanyak dapat melapangkan fikiran.

2. Memancing Ikan

Anda boleh memancing ikan puyu, haruan serta belut di sawah dengan cara tradisional atau menggunakan joran. Lebih-lebih lagi ketika sawah padi mula menghijau, sambil berehat ambil angin dari udara segar.

Kenangan yang indah buat anak-anak

3. Berjoging

Mungkin sesuai bagi anda yang kaki bersenam. Dikelilingi sawah padi serta pemandangan Gunung Semanggol semestinya mampu memberikan anda aura yang lebih positif.

4. BBQ

Tidak lengkap bercuti bersama keluarga jika tidak melakukan aktiviti barbeque (BBQ) disebelah malam. Pemilik teratak Toksu menyediakan tapak dan peralatan untuk aktiviti ini.

5. Memanah Bagi Kanak-Kanak

Anda mahukan aktiviti untuk kanak-kanak? Jangan risau kerana di sini ada menyediakan aktiviti memanah bagi mereka. Mungkin ianya memberi pengalaman baru kepada anak-anak anda.

sawah
Tali air yang ada di depan teratak membolehkan anda memancing ikan keli, puyu dan haruan

6. Mini Pet Zoo (Kanak-Kanak)

Disediakan juga mini pet zoo khas buat kanak-kanak yang memuatkan pelbagai jenis burung, arnab, itik, kucing dan kolam ikan.

7. Lawatan Ke Tempat Tarikan Pelancong

Tak rugi anda menginap di Teratak Toksu kerana kedudukannya yang strategik dan dikelilingi lokasi tarikan pelancongan. Pasti membuatkan pengunjung sangat teruja dan tidak bosan.

LOKASI MENARIK BERDEKATAN

Antara lokasi berdekatan yang boleh anda kunjungi adalah bandar Taiping termasuk Taman Tasik Taiping, Bukit Merah Lake Town Resort dan The Hidden Nature Gem-Mangrove di Kuala Gula yang merupakan penempatan nelayan sesuai buat anda yang ingin merasai ketenangan hutan bakau serta merupakan tempat pelindung burung di Malaysia. Di Kuala Gula anda juga boleh menikmati hidangan kari ikan semilang dan ketam lembut yang terkenal di situ.

Aktiviti menginap di Teratak Toksu
Menyusuri hutan bakau di Kuala Gula. Foto – Airbnb

Malah terdapat juga aktiviti menarik yang boleh lakukan oleh pengunjung di Kuala Sepetang seperti melawat kilang pembuatan arang secara tradisional. Selain itu, ia juga sesuai bagi penggemar makanan laut dan mi udang.

Anda juga boleh menyusuri Sungai di Kampung Dew bagi melihat keindahan spesis kelip-kelip yang sangat memukau pada waktu malam. Walaupun tidak sehebat sungai lima warna di Columbia, sekurang-kurangnya kita tetap rasa terpegun dengan kelip-kelip yang sangat banyak.

Kelip-kelip di Sungai Dew. Foto – Orang Perak

HARGA DAN TEMPAHAN

Teratak Toksu boleh disewa dengan harga yang berpatutan serendah RM80 sahaja untuk satu malam. Buatlah tempahan awal jika berhajat ke sini dengan menghubungi 0194735811.

Jom kita cuba. Min sendiri belum sampai di sesetengah tempat yang disebutkan tadi. Nampaknya satu masa nak kena singgah situ. Lama tak pekena mi udang dengan laksa putar.

Sumber: mStar

Written by Admin

Saya lelaki biasa yang ada perlindungan takaful dan insurans. Suka travel seperti orang lain. Pernah naik flight untuk travel seperti Air Asia, Malindo, Malaysia Airlines, Fire Fly, Scoot, Singapore Airlines, Qantas, Thai Airways, British dan sebagainya. Makan juga nasi, KFC, Mc Donalds, Burger Kings. Minat forex tapi tak pandai. Sikit duit dalam simpanan akaun di Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Bank dan AmBank. Membeli belah dengan kemudahan AEON Cards.

Restoren Cari Jodoh

Gempak! Konsep Restoren Cari Jodoh Pertama Di Malaysia

Saksi Utama - Narresh

Ini Jawapan Atas Cacian Terhadap Saya – Narresh