TIP Persediaan Sebelum Bersalin Bagi Wanita Yang Mengandung Anak Sulung

Kehamilan yang pertama atau mengandung anak sulung, sudah pasti banyak perkara yang anda tidak mengetahui. Anda langsung tiada pengalaman dalam melalui situasi untuk bersalin. Walaupun sebelum ini anda pernah menemani ahli keluarga bersalin, tetapi anda tidak tahu apa yang berlaku sepanjang kehamilan mereka. Apa yang anda tahu adalah bayi tersebut tedah selamat dilahirkan.

Sila buat persediaan sebelum melahirkan anak
Semua pasangan tentunya gembira apabila mengetahui mereka bakal menimang cahayamata.

Kami ingin kongsikan beberapa tips yang mungkin dapat membantu anda dalam membuat persediaan untuk bersalin bagi kali pertama nanti.

Anda pasti semakin berdebar-debar apabila kandungan mencecah 9 bulan. Mungkin ada juga perasaan takut atau juga kerana tidak sabar untuk melihat wajah anak anda. Macam-macam bermain di fikiran anda sewaktu itu. Antaranya wajah anak anda. Adakah seperti anda atau seperti ayahnya.

Waktu bersalin adalah sukar untuk dijangka. Ada yang awal dari tarikh jangkaan, ada sedikit lewat dan ada yang tepat. Bagi admin anak sulung lahir tepat pada tarikh yang tercatat pada kad pranatal.

Di bawah ini dikongsikan beberapa tips persediaan untuk wanita yang hamil anak pertama untuk membuat persediaan awal.

1. Bajet

Walaupun anda merancang untuk bersalin secara normal, anda tetap memperuntukkan wang untuk bersalin secara caesarean. Ini penting sebagai persediaan jika anda terpaksa bersalin secara pembedahan, sekiranya ada komplikasi tertentu.

2. Pilih Hospital Untuk Bersalin

Rancang dan tempah (jika perlu) hospital mana untuk bersalin bagi memudahkan anda untuk menuju ke sana. Anda dinasihatkan untuk memilih hospital yang berdekatan dengan kediaman kerana jika berlaku sebarang kecemasan, anda boleh sampai ke sana dengan segera.

3. Kemudahan Hospital

Pilih hospital yang mempunyai kemudahan lengkap untuk anda bersalin seperti  wad bersalin, bilik bayi, bilik ICU untuk ibu, bilik NICU untuk bayi dan peralatan perubatan lain untuk menghadapi saat kecemasan. Pastikan semuanya lengkap dan mencukupi untuk rawatan ibu dan anak.

4. Kelas Antenatal

Ia merupakan kelas yang memberi pendedahan kepada anda tentang selok belok perihal bersalin dan lain-lain. Antara topik yang disentuh, biasanya pemakanan semasa hamil, senaman ibu hamil, pilihan penggunaan ubat tahan sakit, demonstrasi penjagaan bayi baru lahir, penjagaan ibu selepas melahirkan, penyusuan susu ibu dan lain-lain lagi. Pilih kelas antenatal di hospital yang anda rancang untuk bersalin, kerana anda dapat mengenali doktor-doktor di situ.

Seeloknya kelas Antenatal dihadiri bersama suami
Kelas Antenatal

5. Penyusuan Susu Ibu

Buat persediaan secukupnya sejak dari awal kehamilan. Cari sebanyak mungkin maklumat berkaitan penyusuan susu ibu. Paling penting, sebaik bersalin, anda perlu melakukan sentuhan kulit ke kulit dengan bayi dan membiarkan bayi mencari puting untuk menyusu bagi merangsang rooting reflex memandangkan dia sememangnya mempunyai naluri hisapan yang kuat.

Penyusuan dalam tempoh satu jam pertama selepas kelahiran sangat penting kerana ia dapat menyalurkan kolostrum yang menjadi imunisasi semula jadi pertama kepada bayi. Malahan, ia juga membantu merangsang proses penghasilan susu ibu secara berterusan.

6. Kehamilan Berisiko Caesarean

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan anda bersalin secara caesarean. Contohnya proses kelahiran terbantut setelah tiada kemajuan pembesaran saiz serviks biarpun dibantu dengan ubat penguat kontraksi.

Sebab-sebab lain pula adalah janin mengalami masalah seperti bekalan oksigen tergendala, tali pusat terhimpit sehingga mengakibatkan bekalan darah dari uri ke bayi menurun, saiz badan bayi terlalu besar jika dibandingkan dengan tulang pinggul anda, kedudukan bayi songsang, serta terdapat jangkitan pada anda seperti herpes genitalia yang boleh memudaratkan bayi semasa proses kelahiran.

c-section and normal dlivery
Bersalin secara pembedahan dan biasa. @ allhealthynews

7. Selusuh

Amalan menggunakan selusuh sebaik-baiknya menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa tertentu kepada Allah swt agar anda diberi kekuatan sepanjang proses kelahiran. Ayat-ayat dan doa-doa terpilih berkenaan boleh dibacakan sama ada pada air, minyak atau buah kurma. Sebaik-baiknya, air selusuh yang disediakan oleh suami.

Air Selusuh Adalah Ikhtiar
Sekadar gambar hiasan. @ c.tribune

8. Kelengkapan Ibu

Semakin menghampiri waktu bersalin, semestinya anda sudah pun siap menyediakan barangan kelengkapan untuk di bawa ke hospital. Antaranya adalah kain batik, stokin, alatan mandi, tuala wanita, beberapa helai baju dalam, pad payudara dan seluar dalam pakai buang, selipar dan lain-lain lagi. Jangan lupa pakaian untuk pulang ke rumah setelah dibenarkan keluar dari hospital nanti. Jangan lupa juga kad pengenalan anda dan kad pemeriksaan ibu mengandung.

9. Kelengkapan Bayi

Pakaian bayi seperti baju berlengan panjang, seluar, topi, sarung tangan dan sarung kaki, kain bedung, kain balutan, selimut dan lampin bayi untuk dibawa ke hospital. Bawa juga bedak, losyen, syampu, sabun mandian, minyak bayi, minyak telon, kapas muka, tisu basah dan sebagainya.

Sediakan checklist untuk kelengkapan bayi dan anak
Sebahagian kelengkapan ibu dan bayi. @ intanrastini.files

10. Kelengkapan Ayah

Bawa snek dan minuman berkhasiat supaya si ayah tidak perlu meninggalkan bilik bersalin semasa anda sedang sakit hendak bersalin.

11. Persediaan Berpantang

Untuk kelancaran proses berpantang, perlu juga disediakan kelengkapan yang mencukupi. Antaranya ialah set selepas bersalin dan batu tungku berserta herbanya.  Cari dan booking tukang urut yang berkelayakan dan berkebolehan. Pilih orang yang mahir dalam kerja-kerja mengurut wanita selepas bersalin.

Mengurut
Antara persediaan semasa berpantang adalah mengupah tukang urut. @ cari

12. Rehat Yang Cukup

Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi sebelum melahirkan anak. Makanlah makanan yang berkhasiat untuk anda dan bayi anda. Pastikan perut anda terisi sebelum proses kelahiran bagi mengekalkan stamina semasa bersalin.

13. Gembira Dan Tenang

Jaga emosi anda. Tenang dan bahagia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak bayi seterusnya kelahiran bayi yang sihat,terangsang, pintar dan cerdas. Perasaan gembira dan bahagia atas kurniaan zuriat yang bakal lahir mesti ditunjukkan dengan banyak melakukan sujud syukur.

14. Ingat Allah S.W.T

Bersihkan hati daripada perasaan tidak baik. Perbanyakkan mengingati Allah s.w.t dengan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah s.w.t semoga diampunkan segala dosa yang telah dilakukan selama ini. Perbanyakkan sembahyang sunat, puasa sunat serta bersedekah.

Sentiasa mengingati Allah
Sekadar Hiasan

15. Doa Dan Amalan

Amalan berzikir dan banyak berdoa amat digalakkan. Amalan ini sangat bagus kerana dapat mententeramkan fikiran dan dapat memupuk kesabaran ketika menghadapi kesakitan melahirkan anak nanti.

Antara surah yang baik untuk diamalkan adalah Surah Al-Fatihah, ayat kursi, surah maryam, surah al-anbiya ayat 87 (doa nabi yunus), ayat 20 surah ‘Abasa, ayat 35 surah Al-Ahqaaf, ayat 46 surah An-Naziat dan Surah An-Nahl: ayat 78-80.

16. Ketahui Tanda Kelahiran

Ketahui tanda-tanda awal kelahiran supaya anda lebih bersedia. Antara tanda-tanda awal kelahiran ialah:

  • Berlaku kontraksi dan terdapat sedikit darah keluar dari faraj. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba.
  • Cirit-birit dan diikuti dengan rasa memulas pada bahagian perut.
  • Sakit belakang yang agak teruk dan tidak menentu.
  • Sengal di bawah perut seperti senggugut.
  • Air ketuban keluar sedikit demi sedikit.
  • Kontraksi berlaku semakin kerap.
Sakit pinggang yang kerap
Tanda kelahiran semakin dekat. @ ibu hamil

Info: Waktu kelahiran. Tempoh masa melahirkan biasanya dibahagikan kepada tiga tahap. Ia biasanya akan berlaku dalam tempoh 12 hingga 16 jam bagi ibu yang baru pertama kali hamil dan kurang 12 jam bagi yang sudah berpengalaman.

17. Tahap Pertama

Kelahiran bermula. Rasa sakit pada bahagian belakang akibat aktiviti pengecutan rahim dan pengembangan serviks. Rasa sakit ini akan beralih ke hadapan sehingga bahagian bawah abdomen (rongga perut). Keadaan ini berlaku dalam tempoh tertentu dan sakit makin bertambah setiap kali berlakunya kontraksi tanda-tanda, akan keluarnya mukus yang bercampur darah dari faraj. Ini adalah disebabkan mukus mula memenuhi serviks.

18. Tahap Kedua

Serviks terbuka sepenuhnya dan air ketuban keluar dengan banyak akibat pundi ketuban pecah. Doktor atau bidan akan memerhatikan pundi kencing anda supaya tidak mengembung. Jika mengembung ia boleh menghalang kepala bayi daripada turun semasa proses kelahiran.

Anda perlu baring pada posisi yang sesuai sambil meneran sekuat hati apabila kecutan rahim sampai ke puncaknya. Pada ketikan ini, kepala bayi sudah berada pada perineum dan bahagian dubur mulai mengembang. Tugas yang paling kritikal pada tahap kedua ialah untuk mengelak perineum terkoyak.

19. Tahap Ketiga

  • proses pengeluaran uri dan selaput ketuban. Uri biasanya cepat lekang. Ia akan mengambil masa 2 hingga 5 minit selepas bayi lahir. Selepas ia lekang sepenuhnya, doktor akan menggunakan sebelah tangan untuk menolak rahim yang mengecut ke arat pusat, manakala sebelah tangan lagi akan memegang tali pusat ke atas untuk meringankan berat uri yang keluar.
  • Proses menghentikan pendarahan dan menjamin pengecutan serta penarikan rahim dengan sempurna.

20. Urutan Perineum Dan Episiotomi

  • Urutan perineum biasanya urutan yang dipraktikkan oleh wanita hamil di kawasan faraj sebagai persediaan untuk bersalin. Urutan dilakukan untuk mengurangkan risiko perineum daripada terkoyak ketika kelahiran berlaku.
Mengurangkan risiko perineum terkoyak
Urutan Perineum. @ bidan kita
  • Episiotomi biasanya dilakukan oleh doktor dengan menggunting sedikit faraj untuk memudahkan laluan bayi. Tidak semua wanita hamil memerlukan episiotomi kecuali pada kes-kes tertentu seperti kandungan sulung, sebelum prosedur vakum atau forsep dan juga kelahiran songsang bagi mereka yang bersalin secara normal.

Sumber: Fatimahtony

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *