kes gaduh

(VIDEO) Pergaduhan Antara Dua Kumpulan Tercetus Selepas Seorang Wanita Merampas Telefon Bimbit & Menampar Seorang Lelaki

SIBU – Kerana tindakan seorang wanita yang dipercayai telah merampas satu telefon bimbit yang dikatakan milik seorang lelaki serta turut menamparnya menjadikan tercetusnya satu pergaduhan antara dua kumpulan lelaki sebuah kafe di Jalan Wong King Huo, petang kelmarin.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zailanni Amit berkata, tujuh suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu berjaya ditahan di Jalan Keranji dan Jalan Kampung Nyabor sejurus selepas Bahagian Siasatan Jenayah polis daerah dimaklumkan.

“Pergaduhan tersebut dipercayai berlaku selepas seorang wanita merampas telefon bimbit milik seorang lelaki serta menamparnya menyebabkan lelaki itu membalas dengan memukul wanita itu menggunakan siku sehingga cedera di muka,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, satu rakaman video yang dipercayai dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan adegan pergaduhan antara kedua kumpulan berkenaan kini tersebar di laman sosial Facebook selepas ianya dimuat naik oleh seseorang dan kini jadi tular.

“Ini menjurus kepada penangkapan suspek-suspek berumur antara 20 dan 30 tahun di dua lokasi berasingan tersebut,” katanya.

Menurut Zailanni, kumpulan ‘baju putih’ dan ‘bajuhitam’ terbabit sedang duduk di meja berasingan di kafe tersebut sekitar jam 1.30 petang apabila suspek wanita berumur 30 tahun dari satu kumpulan tiba-tiba meluru ke meja satu lagi kumpulan dan merampas telefon bimbit milik lelaki berumur 26 tahun serta menamparnya.

Katanya, siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan salah faham antara wanita terbabit yang menyedari lelaki tersebut merakam gambarnya menggunakan telefon bimbit.

Zailanni berkata, suspek lelaki itu mendakwa dia merakam gambar suspek wanita terbabit hanya dengan tujuan ingin bergurau dan mengusik.

pergaduhan

“Kejadian bertambah serius apabila rakan kedua-dua kumpulan campur tangan menggunakan kayu dan parang untuk mengugut sesama mereka,” jelasnya.

Difahamkan, sehingga kini pihak polis masih lagi sedang berusaha untuk mengesan kesemua senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu. “Suspek-suspek yang ditangkap akan menjalani saringan awal air kencing dan akan direman untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata (kayu dan parang).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *