in , ,

Wanita Ini Kongsi Penipuan Scammer Menyamar Polis Minta Jelaskan Duit GST Tertunggak RM16k Atau Bank In Wang Jaminan RM5k

Akhir-akhir terdapat banyak penipuan dalam talian yang sering kita dengari samada melalui talian telefon, media sosial dan lain-lain medium internet. Semoga semua yang berada d luar sana lebih berhati-hati kerana sekiranya anda di hubungi oleh orang yang tidak dikenali dan menyamar sebagai pihak berkuasa, sudah tentu anda akan mempercayainya.

Wanita Nyaris Ditipu Sendikit Menyamar Polis dan Kastam
© Fazimah Md Bazid

Di bawah ini kami siarkan satu kes penipuan terbaru melalui panggilan telefon terhadap seorang wanita oleh pihak yang menyamar sebagai Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) seperti yang dikongsi oleh Puan Fazimah Md Bazid.

Berikut adalah perkongsian penuh beliau.

Bismillahirrahmannirrahim dan Assalamualaikum WBT.

Ini cerita pagi ini saya nak berkongsi dengan semua ahli keluarga, saudara mara dan sahabat-sahabat di Facebook.

Saya menerima panggilan daripada nombor telefon 04-7742022, iaitu panggilan dari pihak Kastam Kedah. Pegawai tersebut bernama Mohd Riduan bin Samsul (WK04). Nombor rujuk kes UKKK786/12/2017. Saya dimaklumkan bahawa Notis Amaran Terakhir telah dikeluarkan pada hari ini berkenaan GST sebanyak RM16,000.00 yang masih tertunggak akibat daripada rampasan telefon bimbit Samsung sebanyak 103 unit yang dirampas pada 27.4.2017 di Kastam ‘Checkpoint‘ Bukit Kayu Hitam. Pihak Kastam telah membacakan nama penuh dan nombor kad pengenalan pelaku dan ia sama dengan nama penuh dan nombor kad pengenalan saya. Saya menafikan sekeras-kerasnya dan mereka melanjutkan perkara ini ke pihak IPK Kedah.

Talian itu disambungkan terus ke IPK Kedah dan saya ditemubual oleh Sarjan Hamizi bin Ismail. Saya ada juga meminta nombor badan sarjan tersebut (Nombor ID Polis) tetapi katanya ianya adalah rahsia. Selepas disoal siasat dan saya masih menafikan dan mereka meminta saya hadir ke IPK Kedah. Akibat jarak balai polis terlalu jauh kerana saya di Selangor, mereka memberi ‘option’ kepada saya untuk membela diri dengan membuat laporan secara dalam talian dan dirakam. Saya bersetuju dan dalam masa yang sama saya ada terfikir untuk rekod dari telefon bimbit saya tetapi saya tidak melakukan mungkin kerana perasaan yang gelisah ketika itu.

Sarjan tersebut memulakan rakaman dan meminta supaya tiada orang ketiga ketika rakaman dilakukan. Beberapa soalan diajukan kepada saya dan setelah itu sarjan tersebut menyerahkan kes kepada Sarjan Mohd Taufiq untuk tindakan selanjutnya. Kemudian Sarjan Taufiq meminta saya menunggu di talian kerana ingin membuat semakan di bahagian Teknologi Maklumat (IT) untuk menyemak jika saya pernah terbabit dalam mana-mana kes jenayah. Saya mendengar perbualan sarjan tersebut melalui walkie talkie (keadaan sangat real ketika itu dengan cara dan perbualan mereka) dan pihak IT tersebut menyatakan bahawa nama saya tersenarai dalam kes syabu seberat 16 kg dan waran tangkap sudah pun dikeluarkan untuk menangkap saya. Ketika itu luluh rasa jantung dan macam-macam bermain dalam fikiran walaupun saya tahu saya tidak melakukan jenayah ini.

Sarjan Taufiq meninggikan suaranya kepada saya untuk saya mengaku kerana di dalam kertas siasatan saya ada wanita yang telah menjual Akaun CIMB saya kepada Pengurus CIMB Kedah yang bernama Roslan bin Johari yang telah ditahan 5 hari lalu dan saya diberi ganjaran sebanyak RM200,000.00 yang telah pun dimasukkan ke akaun saya. Saya menafikan tiada perkara begini berlaku dan saya minta untuk membuat laporan polis ke balai polis berdekatan. Sarjan Taufiq melarang keras saya ke mana-mana balai polis kerana katanya saya akan direman kerana tidak memberi kerjasama kepada pihak polis. Ketika itu saya seperti tiada pilihan dan Sarjan Taufiq seperti memaksa saya mengaku perkara yang saya tidak buat. Katanya lagi dia boleh membantu saya asalkan saya tidak mendedahkan perkara ini kepada sesiapapun termasuk suami. Saya cuba berdolak dalih dan Sarjan Taufiq seperti tidak berpuas hati kerana katanya saya cuba (drag) melengahkan perkara ini terlalu lama. Bayangkan panggilan diterima dari jam 9.00 pagi dan sehingga jam 10.45 pagi masih tiada keputusan.

Saya risau dan rasa agak gementar ketika itu dan saya menangis. Sarjan itu meminta saya bertenang dan katanya saya ada 2 pilihan untuk selesaikan masalah ini iaitu:

1. Reman 45 hari. Jika tidak bersalah akan dilepaskan.
2. Membayar wang jaminan sebanyak RM5000.00 dan jika tidak bersalah wang tersebut akan dikembalikan dalam masa 24 jam.

Saya memberitahu sarjan tersebut yang saya tiada duit namun dia suruh saya dapatkan juga. Dari situ (ALLAH membantu saya) saya seperti rasa pelik dan tersedar bahawa perkara ini seperti ‘scam‘. Saya mula mempertikaikan caranya tetapi saya ditengking kerana cuba mengganggu proses pihak polis. Dalam saya menangis saya melawan dan mempertikaikan bahawa pihak polis tidak berhak untuk menengking dan meninggikan suara. Saya menegaskan bahawa saya tidak boleh menerima cara begini dan saya perlu ada di balai polis untuk membela diri saya.

Sarjan Taufiq cuba memujuk saya dan sekali lagi meminta saya ‘bank in’ duit jaminan itu dan akan memberi saya nombor akaun ‘personal auditor’ di Mahkamah. Sekali lagi saya pertikaikan, kenapa personal account? Saya minta untuk membuat bayaran di mana-mana mahkmah dan dia masih tidak berpuas hati. Saya menangis lagi dan saya tekankan bahawa saya ingin ke balai polis sekarang dan dengan nada yang tinggi, dia minta saya jangan matikan talian dan menyediakan 2 pasang baju kerana setibanya di balai polis dia akan meminta pihak balai untuk menahan saya.

Tanpa berkata apa-apa saya tinggalkan telefon bimbit di atas meja pejabat dan keluar meminjam telefon bimbit staff saya untuk saya menelefon suami. Masa tu airmata ini sudah tidak boleh hendak dibendung lagi dan suami meminta saya bertenang sementara dia semak dengan kawannya (Polis). Saya masuk ke bilik semula dan melihat talian telefon sudah pun terputus selepas 2 jam lebih disoal siasat. Saya terbaca di ruangan ‘whatsapp’ dan ternampak satu nombor telefon bimbit 013-9668481 telah menghantar satu surat dari Mahkamah Persekutuan untuk membuat tangkapan terhadap saya. Selepas menunjukkan surat kepada suami. Saya dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan kes ini dianggap ‘scmmer’/sindiket.

Untuk makluman semua, cara-cara yang mereka gunakan sangat real. Dari panggilan telefon, cara siasatan dan ketegasan mereka. Mungkin kerana saya tidak berapa tahu cara-cara anggota polis membuat siasatan, jadi perkara sebegini sedikit sebanyak mempengaruhi dan mudah dipercayai. Saya berharap perkara begini dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa dan tidak berlaku kepada sesiapa. Semoga kita dilindungi Allah SWT dan dijauhi daripda perkara-perkara begini. Allahai…Susah hati sungguh saya. Wassalam.

Semoga perkongsian Puan Fazimah boleh dijadikan iktibar kepada semua yaang diluar sana. Berhati-hatilah jika anda mengalami perkara seumpama ini. Terus saja membuat laporan polis. Jika anda tidak bersalah, kenapa perlu dirisaukan. Semoga kita semua dilindungi Allah SWT.

nyaris ditipu sendikit
© Fazimah Md Bazid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

Comments

TIP Membeli Power Bank Yang Patut Anda Tahu

Kelebihan Membaca 3 Qul Sebelum Tidur. Rugi Kalau Tak Amal Benda Semudah Ini.